Tandatangan pada resit rasmi pembayaran RM2 juta milik Ku Nan

0
83

KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa tandatangan pada resit rasmi pembayaran RM2 juta sumbangan politik beliau kepada UMNO adalah milik Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan sama ada beliau kenal atau biasa dengan tandatangan di bawah resit tersebut.


Loading…

“Kamu sahkan resit ini ialah salinan asal?,” soal Hock Chuan dan Kin Kong menjawab: “Saya rasa ini yang original sebab saya hanya terima ini sahaja.”

“Mengikut resit ini, tandatangan di bawahnya ialah selaku ‘Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan’,” soal Hock Chuan.

“Saya buta huruf jadi tidak faham tulisan,” jawab Kin Kong dalam Bahasa Kantonis yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah.

Kin Kong berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Hock Chuan pada hari kelapan perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, Kin Kong yang mengenali Tengku Adnan lebih 30 tahun berkata beliau menerima resit rasmi pembayaran RM2 juta itu daripada Tengku Adnan sendiri pada 14 Jun 2016.


Semalam, Kin Kong dalam pernyataan saksinya mengesahkan pembayaran cek RM2 juta kepada Tengku Adnan yang telah meminta sumbangan daripada beliau untuk dana politik.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...