Najib tak dibenar dapatkan penyata akaun bank

0
39
Najib Razak

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Najib Razak tidak dibenar mendapatkan dokumen berhubung penyata akaun Ambank miliknya.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pembela telah meminta dokumen berkenaan dari Ambank bagi tujuan persediaan pembelaan anak guamnya, namun pegawai bank berkenaan memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi sepucuk surat menyatakan bahawa mana-mana pihak yang meminta dokumen berkenaan perlu melalui SPRM terlebih dahulu.


Loading…

“Di bawah peruntukan apa saya tidak boleh mendapatkannya kerana ini akaun anak guam saya. Dia masih kekal sebagai pemegang akaun meskipun jika dia ingin menutupnya hari ini dia masih boleh meminta apa juga akaun yang ternyata.

“Dia berurusan untuk pembelaan dirinya yang sudah tentu ia tidak boleh dirahsiakan daripadanya kerana ini akaun dia,” kata Muhammad Shafee.

Beliau berkata, pihak pembela telah memohon kepada bank berkenaan untuk mendapatkan dokumen bank Najib yang kemudian dijawab oleh pihak bank perkara itu perlu dirujuk kepada SPRM.

“SPRM tidak peduli pun untuk kembali mendapatkan kami. Bukan kuasa SPRM untuk menghalang seseorang pelanggan bank daripada mendapatkan penyata akaunnya. Ini adalah satu penyalahgunaan proses.

Oleh itu, kami meminta mahkamah untuk mengeluarkan satu arahan agar SPRM menerusi pendakwaraya perlu menarik kembali arahan agar pelanggan saya boleh mendapatkan maklumat mengenai akaun miliknya,” katanya.

Pendakwaraya ad-hoc, V Sithambaram menjawab bahawa pendakwa akan memeriksa perkara itu dan akan kembali ke mahkamah Isnin hadapan.

Terdahulu, mahkamah telah mendengar hujah daripada Muhammad Shafee dan Harvinderjit Singh, yang juga mewakili Najib, untuk pembelaan yang bertanya soalan kepada saksi dari Ambank berhubung transaksi bank dari 2013 yang dikredit ke dalam bank akaun Najib.

Sithambaram membantah terhadap permintaan pihak pembela dengan berkata bahawa permohonan itu tidak relevan kerana ia bukan perihal perkara pertuduhan pilihan terhadap Najib.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan membenarkan saksi berkenaan untuk mengesahkan hanya butiran transaksi akaun bank yang tertuduh.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 15 Julai.

– Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...