K’jaan berjaya dapatkan semula RM925 juta dana 1MDB

0
360
Menteri Kewangan Lim Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sebanyak RM925 juta dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dikembalikan setakat ini.

Jumlah yang telah dipulangkan itu melibatkan bayaran dana berjumlah RM805.8 juta dari Amerika Syarikat hasil daripada penyitaan syarikat pembikinan filem Red Granite Pictures.

Selain itu sebanyak RM238 juta dan Hotel Park Lane di Manhattan berjumlah RM567.8 juta.


Loading…

Bayaran itu juga turut membabitkan bayaran dana dari Singapura dengan jumlah sebanyak 92.3 juta dan Malaysia sebanyak RM27 juta termasuk RM6.1 juta yang dipulangkan kepada Yayasan 1MDB dalam mata wang pelbagai denominasi.

Guan Eng berkata lagi, dana keseluruhan berjumlah RM925.1 juta itu tidak termasuk hasil jualan kapal Equanimity sebanyak AS$126 juta (kira-kira RM527.4 juta) kepada Genting Malaysia Bhd.

Beliau memberitahu, baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat dijangka akan didepositkan ke dalam akaun pemulihan milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada bulan depan.

“Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat dijangka akan didepositkan ke dalam Recovery Account milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada bulan Ogos 2019.


“Apabila diterima USD126 juta ini kelak, wang dana ini akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng menegaskan, hasil jualan kapal telah diterima sepenuhnya pada 23 April lalu dan kini disimpan di dalam Sheriff’s Stakeholder Account (sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan.

“Ini bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah,” katanya lagi.

Dalam kenyataan tersebut Lim juga berkata Yayasan 1MDB masih belum lagi menerima sebarang bayaran daripada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi).

Namun begitu Lim memuji pengerusi Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd (Kojadi), Ng Peng Hay kerana berusaha untuk mengembalikan wang milik 1MDB kepada kerajaan.

Dilaporkan antara 2012 dan 2013, koperasi milik MCA itu menerima RM15 juta daripada Yayasan 1MDB.


“Komitmen pengerusi Kojadi untuk melakukan perkara yang betul dengan berusaha memulangkan wang kepada Yayasan 1MDB, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai tindakan ke atasnya, harus dipuji,” kata Lim.

Menurut Lim pada 16 Ogos 2012 satu perjanjian Financial Grant antara Yayasan 1MDB dan Kojadi telah ditandatangani.

“Pada 16 Ogos 2012, satu perjanjian Financial Grant antara Yayasan 1MDB dan Kojadi untuk jumlah sebanyak RM15 juta telah ditandatangani.

“Selepas itu, dana sebanyak RM15 juta telah diberikan kepada Kojadi oleh Yayasan 1MDB dibayar masing-masing sebanyak RM5 juta pada 17 Ogos 2012, 22 Oktober 2012 dan 15 Mac 2013,” katanya lagi.

Lim juga berkata, pelbagai usaha kini sedang giat dijalankan bagi mendapatkan kembali dana diselewengkan bagi membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion, termasuk faedah pinjaman akan datang yang dijamin Kerajaan Persekutuan.

“Ini hasil usaha pihak berkuasa negara termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara selain dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara,” katanya lagi dalam kenyataan tersebut. – Malaysian Update

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...