‘Cerai dalam masa 6 jam elak wanita digantung tak bertali’

0
27

Proses kerja kes cerai ‘fast track’ (pantas) yang diperkenalkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bukan untuk menggalakkan masyarakat Islam di negeri ini bercerai hingga menyumbang kepada kadar kes yang tinggi.

JAKESS dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesan inisiatif ini dilihat menggalakkan para suami bagi sesuatu perkahwinan yang telah pecah belah untuk menceraikan isteri secara baik hingga tidak berlaku kejadian “wanita digantung tidak bertali”.


Loading…

“Proses kerja ini juga sebenarnya menjimatkan masa dan kos pihak terlibat dan memberi peluang kepada mereka untuk memulakan hidup baharu secara damai tanpa perlu bermusuhan antara satu sama lain.

“Ini sebagaimana yang biasa berlaku kesan daripada perbicaraan kes yang panjang di mahkamah,” kata kenyataan itu.

JAKESS menjelaskan jumlah kes perceraian yang tinggi di Selangor sebenarnya disebabkan faktor kepadatan penduduknya berbanding negeri-negeri lain.

Menurut kenyataan itu, proses kerja kes cerai secara ‘fast track’ juga hanya digunapakai sekiranya beberapa syarat dipenuhi.

Ini termasuk penyediaan dokumen yang lengkap; suami dan isteri hadir ke mahkamah; wujud persetujuan antara suami dan isteri untuk bercerai secara baik serta harmoni; isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut.Di samping itu, mahkamah berpuas hati bahawa telah berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.

Dalam hal ini, kes perceraian akan diselesaikan dalam tempoh enam jam daripada masa pemfailan kes.

Semalam, isu perceraian dalam masa enam jam di Selangor dibangkitkan Anggota Parlimen Jelebu, Jalaludin Alias pada sesi pertanyaan lisan di persidangan Dewan Rakyat.

Beliau mendakwa proses perceraian ekspres itu antara punca negeri terbabit mencatat kes perceraian tertinggi di negara ini.

– Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...