Beberapa individu disyaki terlibat ditahan, dalang video seks sejenis dikenal pasti – KPN

0
550
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan pasukan itu telah menahan beberapa individu termasuk ahli parti politik, NGO kerana disyaki terlibat dalam pembikinan dan penyebaran video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Abdul Hamid berkata polis telah mengenalpasti dalang penyebaran video seks mirip seorang menteri kanan yang tular di media sosial sejak 11 Jun yang lalu.


Loading…

Abdul Hamid Bador juga berkata, sehingga kini beberapa individu ditahan dan telah dibebaskan bagi membantu siasatan kes tersebut namun identiti mereka tidak didedahkan. 

“Ada bayangan siapa bertanggungjawab. Ada bentuk pakatan atau konsporasi di belakangnya berdasarkan nombor telefon yang digunakan.

“Ada beberapa orang yang ditahan dan sudah dilepaskan, tetapi saya kurang pasti berapa orang.” katanya pada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perumahan Polis Blok Melati di Setiawangsa di sini malam tadi.

Menurut Abdul Hamid, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan termasuk mengambil tindakan susulan terhadap dalang utama pembikinan dan penyebaran klip video berkenaan.


“Tidak kira sama ada dia (suspek) ahli politik, badan bukan kerajaan atau individu berkepentingan, kita (polis) akan tetap ambil tindakan.

“Sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, kita akan terus melakukan tindakan menahan semua yang terbabit.

“Malah mereka yang terbabit dalam menyebarkan video lucah hubungan sejenis itu juga akan diambil tindakan,” tegas beliau.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata kertas siasatan berhubung kes itu telah dihantar sebanyak dua kali kepada Pejabat Peguam Negara tetapi telah dipulangkan semula berikutan beberapa tindakan yang perlu dilengkapkan.

“Menerusi perbincangan yang dilakukan, pihak polis akan mengambil beberapa tindakan berdasarkan arahan Pejabat Peguam Negara bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula.

“Kali terakhir kertas siasatan tersebut diserahkan kepada pihak Peguam Negara adalah pada Khamis lalu,” katanya lagi.

Sebelum ini bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz membuat pengakuan bersumpah bahawa dirinya merupakan salah seorang daripada 2 individu yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan pada Mei lalu.

Mohamed Azmin yang didakwa terlibat dalam video tersebut bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut, menyifatkannya berniat jahat yang bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya. – Malaysian Update

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...