Anwar serah pada SPRM siasat exco Perak

0
44
PKR president Datuk Seri Anwar Ibrahim speaks to reporters at PKR headquarters in Petaling Jaya. Picture by Ahmad Zamzahuri

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sekiranya terdapat sebarang unsur rasuah melibatkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak.

“Oleh kerana laporan telah dibuat, kita serah kepada SPRM sahaja. Ada dua isu iaitu tuduhan rasuah dan kebocoran (maklumat),” katanya kepada pemberita di Melaka, hari ini.


Loading…

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mengenai seorang Exco Kerajaan Negeri Perak yang didakwa telah membocorkan kertas minit Mesyuarat Kerajaan Negeri, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung dakwaan berkenaan sama ada dari pihak yang melaporkan iaitu bekas pegawai khas exco terbabit mahupun Exco yang didakwa iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri.

“Abdul Yunus orang yang saya kenal dan beliau menjalankan tugas sebagai ahli berhormat dengan begitu baik,” katanya.

Semalam, Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean yang juga bekas pegawai khas Abdul Yunus, membuat laporan polis di IPD Ipoh mendakwa Exco berkenaan telah membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, bagi mendapatkan komisen daripada dua syarikat pertanian.

Berikutan itu, Abdul Yunus yang dilaporkan sebagai menjelaskan perkongsian pelbagai maklumat dan data kerajaan negeri dibuat atas kapasiti sebagai wakil rakyat, dan penting untuk menyelesaikan pelbagai aduan, serta masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain mengenai kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berhubung dalang yang dikenal pasti di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

“Ya, saya baca kenyataan Ketua Polis Negara. Kita tunggulah laporan lanjut sama ada video itu benar bukan rekaan dan siapa yang dalangi serta siapa yang sebarkan. Pastinya itu dalam siasatan polis. Jadi tidak payahlah kita buat jangkaan yang terlalu banyak,” katanya.

Semalam, media melaporkan Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan bahawa ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam kes itu.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Terdahulu, Anwar meluangkan kira-kira empat jam mengadakan pertemuan bersama Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Melaka di Melaka.

Beliau sebelum itu turut mengadakan pertemuan dengan komuniti nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Linggi dan turut bertemu dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri. – Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...

Sumbang seikhlas hati anda tanda sokongan kepada Berita Fakta dan Komprehensif kami. Bermula dengan hanya RM1, Sokong berita kami.Terima Kasih Rakyat Malaysia.