Tun M rancang jual aset kerajaan

0
656

LONDON, 18 Jun — Kalangan pelabur di United Kingdom (UK) terbukti optimis terhadap potensi ekonomi Malaysia, malah turut memaparkan minat mendalam untuk melabur di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya telah memanfaatkan peluang berada di sini untuk mengenal pasti apa yang boleh disumbangkan oleh perniagaan Britain untuk kita, apa yang mereka inginkan serta perkara yang perlu dilaksanakan bagi menarik pelaburan mereka,” kata Dr Mahathir pada sidang media di hari terakhir lawatan kerja tiga hari beliau ke UK, di sini semalam.


Loading…

Mengulas selanjutnya, Perdana Menteri berkata pada sesi meja bulat bersama pelabur UK semalam, banyak pihak telah menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia termasuk sebuah firma reka bentuk pesawat yang turut berkongsi cadangan pelaburan dalam bidang tertentu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti syarikat terbabit kerana perkara itu masih dalam peringkat cadangan.

Dr Mahathir sebelum itu menghadiri sesi meja bulat bersama 50 syarikat dan institusi perniagaan terkemuka yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini.

Perdana Menteri juga berharap syarikat yang menunjukkan minat terhadap potensi Malaysia akan meneruskan usaha dengan melabur di Malaysia atau mewujudkan usaha sama bagi manfaat negara ini.

Jelas Dr Mahathir, kerajaan juga akan berusaha mencari jalan bagi menjadikan Malaysia kompetitif dan berupaya mengurangkan hutang negara.

Malah, sekembalinya ke Kuala Lumpur, beliau akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet mengenai langkah menjual beberapa aset milik kerajaan.

Ketika ditanya mengenai aset terbabit, Perdana Menteri berkata : “Kita memiliki banyak aset…kita ada tanah, perkhidmatan, syarikat kerajaan, fasiliti atau institusi yang manfaatnya dapat kita raih menerusi pembabitan sektor swasta.” — Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...