Tawaran pampasan Goldman Sachs tidak munasabah

0
28
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di The Cambridge Union Society hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah ditawarkan pampasan oleh bank pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), tetapi menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, jumlahnya tidak munasabah.

Dalam temu bual oleh Bloomberg pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN bertajuk Masa Depan Malaysia dan ASEAN di Bangkok, Thailand, beliau berkata, jumlah yang telah dicuri adalah kira-kira AS$6.9 bilion (AS$1=RM4.15) keseluruhannya termasuk yuran untuk Goldman Sachs.


Loading…

“Goldman menawarkan RM1 bilion (tetapi) mereka mengaut untung 10 peratus daripadanya,” katanya.

Semasa ditanya oleh moderator Haslinda Amin, berapakah jumlahnya yang munasabah, Dr Mahathir berkata ia sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan US$6.9 bilion.

“Dalam kes ini (1MDB), daripada 90 peratus daripada wang yang diraih tetapi, kami (negara) akan berdepan faedah sebanyak 100 peratus,” katanya.

Semasa ditanya jika kerajaan sedang pertimbangkan saman sivil selain daripada saman jenayah,  beliau berkata ia bergantung pada Peguam Negara (AG).

“Kami perlu teliti kes ini, sebelum mengambil sebarang tindakan. Terserah kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan,” katanya.

Pada 17 Disember, kerajaan Malaysia memfailkan pertuduhan jenayah terhadap tiga anak syarikat Goldman Sachs Inc. yang mengendalikan bon berjumlah AS$6.5 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB.

Ini merupakan pertama kali negara memfailkan pertuduhan jenayah terhadap gergasi perbankan pelaburan Amerika Syarikat itu.


Dilaporkan Goldman Sachs mengenakan yuran AS$600 juta untuk mengendalikan bon berkaitan 1MDB.

Dari segi mendapatkan semula wang yang hilang itu Perdana Menteri berkata, adalah sukar untuk mendapat balik semuanya kerana wang itu telah dicuri dan kerajaan tidak tahu di mana ia berada.

“Jika wang itu dilaburkan dalam sesuatu, kami boleh pergi ke syarikat itu dan minta balik wang berkenaan, tetapi wang itu telah dicuri dan kami tidak tahu ia berada di mana.

“Mereka tidak mahu beritahu kami (di mana wang itu berada) dan sejumlah orang telah mengendalikan wang itu. Kecuali kami boleh paksa mereka, kami tidak akan tahu di mana ia berada,” katanya.

Menurut Peguam Negara, Tommy Thomas, Malaysia setakat ini telah mendapatkan semula AS$322 juta, bersamaan kira-kira RM1.3 bilion nilai aset milik 1MDB. – Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...
loading...