Saksi kata Najib gagal isytihar kepentingan dalam SRC

0
96

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Najib Razak tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam SRC International Sdn Bhd semasa mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) yang membincangkan pinjaman syarikat itu.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan, Tan Sri Mazidah Abdul Majid berkata berdasarkan catitan mesyuarat bagi membincangkan memorandum bertajuk “Jaminan Kerajaan Sehingga RM2 bilion Untuk Pinjaman Oleh SRC International Sdn Bhd” tiada anggota Jemaah Menteri (JM) yang meminta Najib meninggalkan MJM ketika atau sebelum memorandum dibincangkan dalam mesyuarat itu.


Loading…

Mazidah berkata MJM itu bertarikh 8 Feb 2012.

Najib merupakan penasihat emeritus SRC.

Bagaimanapun, beliau berkata, Najib telah meninggalkan MJM pada 23 Nov 2012 sewaktu mesyuarat membincangkan memorandum melibatkan CIMB Bank Berhad.

Pada ketika itu adik Najib iaitu Datuk Seri Nazir adalah pengerusi CIMB Group Holdings Bhd.

“Adalah menjadi amalan untuk ahli-ahli Jemaah Menteri mengisytiharkan kepentingan mereka jika ada, dalam perkara yang dibincangkan dalam MJM, dan ahli JM itu perlu meninggalkan mesyuarat semasa perkara tersebut dibincangkan.

Tindakan meninggalkan mesyuarat tersebut akan dicatitkan dalam minit MJM. Juga dicatitkan dalam minit MJM, bila ahli JM tersebut menyertai kembali mesyuarat setelah JM selesai membincangkan dan membuat keputusan ke atas perkara tersebut,” katanya yang membacakan penyataan saksinya pada hari ke-27 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuhan tuduhan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Menjelaskan mengenai perkara berkenaan, saksi pendakwaan ke-40 itu berkata pernah beberapa kali anggota JM mengisytiharkan kepentingan mereka dan meninggalkan mesyuarat.


“Sebagai contoh, sewaktu MJM pada 26 April 2017, Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin, ketika itu telah meninggalkan mesyuarat semasa memorandum daripada Perdana Menteri dibentangkan.

Sewaktu MJM pada 14 Dis 2016, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah meninggalkan mesyuarat semasa memorandum daripada Perdana Menteri dibentangkan. Datuk Seri Najib Abdul Razak juga pernah meninggalkan mesyuarat, berdasarkan rekod bahagian Kabinet.

Beliau telah meninggalkan mesyuarat sewaktu MJM pada 23 Nov 2012 sewaktu mesyuarat membincangkan memorandum melibatkan CIMB Bank Berhad,” katanya.

Kepada soalan lanjutan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan sama ada amalan anggota JM untuk mengisytiharkan kepentingan terkandung dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran dan anggotai Parlimen, Mazidah berkata: “Ya”.

“Pada 1997 atau 1998 Kabinet meluluskan Kod Etika untuk anggota pentadbiran dan Kod Etika itu mengkehendaki apabila anda mempunyai konflik kepentingan dalam perkara yang dibincangkan, anda perlu meninggalkan mesyuarat dan perlu dicatatkan dalam minit mesyuarat,” kata Mazidah.

[Berita lanjut menyusul]– Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...