Pelantikan Latheefa: Kejutan untuk pastikan menteri kabinet tidak terlalu selesa – Dr M

0
3506

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa pelantikan peguam dan bekas ahli PKR Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM itu mempunyai unsur kejutan.

“Kadang-kadang perkara seperti itu (kejutan) terjadi.

“Sebagai contoh, apabila DAP cadang saya sebagai perdana menteri, itu mengejutkan termasuk kepada saya sendiri.


Loading…

“Kadang-kadang kita ada kejutan,” katanya pada sidang media ketika majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir juga bersetuju bahawa kejutan itu dibuat untuk memastikan menteri kabinet tidak terlalu selesa.

“Mereka tidak boleh terlalu selesa dan fikir apa saja mereka fikir akan diterima,” katanya.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

“Saya ambil masa untuk cari pengganti. Dia kata dia sudah terlalu lama memegang jawatan itu,” katanya seperti dipetik portal Malaysiakini.

Sebelum ini pelantikan peguam dan bekas ahli PKR Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mengejutkan ramai pihak, termasuk menteri kabinet dan ahli parlimen PH sendiri.


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan bahawa beliau sendiri yang memilih Latheefa yang disifatkannya sebagai berperwatakan tegas, dan keputusan itu dibuat tanpa berbincang dengan kabinet.

Walaupun Latheefa mengumumkan bahawa dia sudah keluar dari PKR apabila mendapat tahu akan dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa terus dikritik oleh ahli politik dari kalangan PH dan pembangkang serta aktivis yang mempersoalkan pelantikan peguam itu.

Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama dan menteri kabinet juga mendedahkan bahawa mereka tidak maklum dengan pelantikan itu.


Loading...