Muktamar PAS: Hadi Awang, Tuan Ibrahim menang tanpa bertanding

0
107
Presiden PAS Abdul Hadi Awang (kiri) dan Timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas mereka diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS ke-65. - Foto oleh Bernama

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas mereka diumumkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS ke-65.

Abdul Hadi menerajui parti itu sejak tahun 2002 bagi menggantikan Allahyarham Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim menjawat jawatan nombor dua parti sejak 2015.

Pengerusi Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata keputusan itu dibuat selepas tiada calon lain yang menyatakan hasrat untuk bertanding selepas tempoh pencalonan ditutup kira-kira tiga minggu lepas.


Loading…

Bagi jawatan naib presiden, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengesahkan akan bertanding menentang tiga penyandang iaitu Idris Ahmad, Mohd Amar Nik Abdullah dan Iskandar Abdul Samad.

“Seramai 29 calon yang layak telah menyatakan kesediaan untuk bertanding bagi mengisi 18 jawatan Anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat manakala bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, seramai 16 calon bertanding bagi mengisi 12 jawatan AJK,” katanya pada sidang media di Kuantan, Pahang hari ini.

Turut hadir Setiausaha PAS Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar dan timbalannya Andansura Rabu.

Mohd Fuad berkata bagi Dewan Muslimat PAS Pusat, semua jawatan tertinggi juga dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang manakala 17 calon akan bertanding bagi mengisi 12 jawatan AJK dewan tersebut.

Beliau memaklumkan Dewan Pemuda PAS Pusat juga bakal diterajui oleh ketua baharu yang menang tanpa bertanding, namun namanya hanya akan diumumkan kemudian, memandangkan penyandangnya Muhammad Khalil Abdul Hadi bertanding bagi jawatan AJK PAS Pusat.


Beliau juga memaklumkan bahawa semua calon yang bertanding diberikan masa sehingga Rabu ini jika mereka berhasrat menarik diri, dengan berbuat demikian secara bertulis kepada jawatankuasa pemilihan.

Berhubung pembentangan usul, Takiyuddin berkata mesyuarat khas akan berlangsung di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pada Jumaat ini (14 Jun) bagi memperhalusi semua usul yang ingin dibawa oleh perwakilan.

Beliau berkata Menteri Besar Pahang Wan Rosly Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis Azlan Man serta timbalan presiden Umno yang menjalankan tugas presiden Mohamad Hassan turut dijangka menghadiri muktamar tahun ini.

“Kita menjangkakan tidak kurang 1,200 perwakilan akan menghadiri muktamar tahun ini dan Presiden dijadualkan menyampaikan amanat kepada semua perwakilan secara tertutup pada malam 20 Jun sebelum perasmian muktamar pada keesokannya,” katanya.

Abdul Hadi juga dijadualkan merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS pada 21 Jun ini, yang dijangka dihadiri 300 anggota.


Muktamar PAS ke-65 menyaksikan Dewan Muslimat PAS membuka tirai persidangan pada 15 Jun ini di Pusat Konvensyen Bukit Gambang diikuti Dewan Pemuda PAS pada 19 dan 20 Jun di tempat sama.

Selain itu, Dewan Ulama PAS Pusat bersidang di Wisma Belia Indera Mahkota pada 20 Jun manakala persidangan utama berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA di sini selama tiga hari bermula 21 Jun ini. – Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...

Sumbang seikhlas hati anda tanda sokongan kepada Berita Fakta dan Komprehensif kami. Bermula dengan hanya RM1, Sokong berita kami.Terima Kasih Rakyat Malaysia.