Isu tolak jawatan Setiausaha Bersatu Johor, Sahruddin masih ‘kunci mulut’

0
108

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal masih bersikap ‘mengunci mulut’ berhubung laporan kononnya beliau menolak tawaran jawatan untuk kekal sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri.

Katanya, selaku menteri besar, beliau hanya menumpukan perhatian terhadap pentadbiran kerajaan negeri.


Loading…

“Itu saya tidak mahu komen pasal pengerusi (Pengerusi Bersatu Johor) ialah Mazlan Bujang. Mazlan fokus pada politik, saya fokus kepada pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong di Pagoh, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mazlan sebelum ini yang dikatakan pernah menawarkan kepada Dr Sahruddin agar terus kekal sebagai setiausaha parti namun ditolak oleh menteri besar berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut ditanya adakah beliau memang tidak kisah untuk tidak mempunyai jawatan dalam parti.

Beliau kemudian menjawab: “Yang penting adalah bagaimana kita memastikan rakyat dapat menerima segala pembangunan dan kesejahteraan yang kita bawa.”

Katanya, beliau menyerahkan kepada Mazlan untuk menentukan bila perbincangan dan pertemuan rasmi akan diadakan di antara kedua-dua mereka mengenai parti.

Mengulas mengenai kehadiran kera atau pun monyet liar di kawasan DUN Bukit Kepong, beliau berkata peruntukan untuk membuat perangkap sangkar telah diberikan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.


“Saya maklum bahawa ada kes kera liar dan sebetulnya bukan hanya berlaku di sini (DUN Kepong) sahaja tetapi kebanyakan daerah di Johor, ada.

“Tetapi saya ada meminta Perhilitan untuk memandang serius perkara ini. Nanti, saya akan berbincang bersama mereka, apa pun kita faham dan maklum dan akan buat tindakan bersepadu dan segera,” katanya.

— Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...