Isu ‘land swap’: Hishammuddin tiba di SPRM beri keterangan

0
39
Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein

PUTRAJAYA, 23 Jun — Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tiba di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 11 pagi ini untuk memberi keterangan  mengenai isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Hishammuddin yang memakai kemeja biru tiba di bangunan itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam bersama pegawainya.


Loading…

Ketika ditanya berapa lama beliau akan memberi keterangan kepada SPRM, Hishammuddin berkata beliau tidak pasti kerana tidak tahu apakah soalan yang akan ditanya oleh suruhanjaya itu.

“Saya akan memberi kerjasama penuh tanpa rasa takut atau pilih kasih. Dari dulu lagi saya beri kerjasama sepenuhnya. Yang paling penting sekarang semangat anggota tentera kita, kepentingan mereka dan keluarga mereka. Saya pun tak ada benda nak sembunyi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Februari lepas, Kementerian Pertahanan di bawah pentadbiran kerajaan baharu, mendedahkan bahawa kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Jan lepas.

Dilaporkan, sebanyak 16 projek ‘land swap’ dilakukan kementerian membabitkan 1,183 hektar tanah.

Tanah di beberapa kem di Bukit Kinrara, Hutan Melintang, Bera, Segamat dan Paloh dilaporkan bernilai RM4.8 bilion manakala kos projek itu sebanyak RM4.9 bilion. — Bernama

PERINGATAN: Malaysian Update tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.

Loading...