Header Ads

TMJ tahu usaha untuk 'menghabiskan' pihak istana

foto sumber internet

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah mendakwa baginda mengetahui mengenai usaha untuk 'menghabiskan' pihak istana yang didakwa dirancang oleh "Kadir".

"Kadir, saya tahu mengenai pertemuan di Menara Ilham. Sila teruskan (rancangan) itu.

Loading...

"Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini. Jika kamu mahu menghabiskan kami, kamu perlu menghabiskan kesemuanya. Kamu tidak boleh buat separuh jalan atau 50 peratus. Kamu perlu bersungguh-sungguh dengan 110 peratus," titah pewaris takhta Johor itu pada ciapannya di Twitter.

Menurut TMJ, pihak berkenaan perlu menyelesaikan masalah rakyat.

"Tolong selesaikan masaalah Rakyat. Itupun kalau sudi," titah baginda lagi.

Walaupun, baginda tidak menjelaskan "Kadir" yang dimaksudkannya itu tetapi dipercayai ia merujuk kepada wartawan veteran A Kadir Jasin yang juga penasihat media kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.


Menara Ilham menempatkan pejabat dan galeri seni milik Daim Zainuddin dan Kadir sering berada di sana ketika mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dipengerusikan bekas menteri kewangan itu.

Ketika dihubungi Kadir enggan mengulas mengenai hal ini.

Ciapan Tunku Ismail itu selepas pihak istana Johor dikaitkan dengan isu tanah yang melibatkan pembinaan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS).

Sumber memberitahu Malaysiakini, projek itu terhenti akibat kenaikan kos berpunca daripada tanah yang dimaksudkan untuk projek itu dipindah milik atas nama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Johor, yang memerlukan bayaran pampasan yang besar.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim bertitah baginda bersedia untuk menyerahkan salah satu tanah yang terlibat di Bukit Chagar tanpa kos.

Selain daripada tanah seluas 4.5 hektar Bukit Chagar, sebidang lagi tanah seluas 2.4 hektar yang akan digunakan untuk projek RTS juga merupakan milik Sultan Johor.

Secara keseluruhan, RTS akan memakan belanja dana kerajaan sebanyak RM693.7 juta dalam bentuk bayaran pampasan kepada Sultan Johor, yang berjumlah kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan kos projek itu.

Tanah yang dirujuk oleh Sultan Johor ialah tanah seluas 4.5 hektar pada LOT PTB 23354, yang akan menelan belanja RM495.3 juta dana kerajaan.

Bagaimanapun, tanah Lot 45419, seluas 2.44 hektar yang akan menelan belanja RM198.4 juta dana kerajaan tidak disebut.

-memetik laporan MalaysiaKini

Loading...