Header Ads

T'ganu tak contohi K'tan arah restoran tutup ketika terawih

Foto oleh The Star
Kerajaan Terengganu tidak bercadang mencontohi arahan kerajaan Kelantan agar kedai makan dan restoran di negeri itu menghentikan operasi ketika waktu solat terawih sepanjang bulan Ramadan.
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kedua-dua negeri mempunyai cara tersendiri dan pihaknya melihat tiada keperluan untuk Terengganu melaksanakan perkara seperti itu setakat ini.

Loading...
“Kita kena tengok suasana setempat dan masalah masing-masing. Ini antara fleksibiliti yang harus dipertimbangkan, ia bukanlah satu undang-undang sama rata bagi semua orang untuk perkara seperti ini.
“Saya rasa untuk Kelantan buat pemikiran demikian mereka ada sebab-sebab tersendiri. Setiap negeri ada keunikan tersendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2019 (Kali ke-40) dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM, STAM 2018.
Media melaporkan bahawa para pengusaha kedai makan dan restoran di Kelantan diarah menghentikan operasi dari 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang Ramadan ini bagi menghormati bulan suci ini dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat terawih secara berjemaah di masjid dan surau.
Arahan itu dikeluarkan menerusi satu surat kepada semua Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Adnan Hussin, semalam.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata kerajaan Arab Saudi menawarkan biasiswa penuh bagi 100 pelajar cemerlang Terengganu untuk melanjutkan pelajaran di lapan buah universiti di negara itu dalam pelbagai bidang terutama kejuruteraan.
Beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri telah mempunyai senarai 40 pelajar yang akan menerima tawaran tersebut dan bakal melanjutkan pelajaran mereka di Arab Saudi sekitar September ini.
“Yang 40 orang itu pun dalam pengajian Agama Islam, jadi pihak Arab Saudi minta kita tambah lagi dalam bahagian lain seperti bidang kejuruteraan, terutama dalam minyak dan gas, ini merupakan tawaran yang bagus kerana mereka ada peluang untuk dapatkan latihan industri dan sebagainya di sana,” katanya.

Tambahnya, tawaran kerajaan Arab Saudi itu dimaklumkan selepas lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu Satiful Bahari Mamat ke Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
-Bernama

Loading...