Header Ads

SRC : Had kelayakan pinjaman hanya RM1 bilion saja

foto sumber internet 

KUALA LUMPUR: Permohonan SRC International Sdn Bhd bagi pinjaman wang berjumlah RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada tahun 2011 hanya boleh diluluskan dengan had kelayakan RM1 bilion saja.

Bekas Penolong Naib Presiden KWAP, Bahagian Pendapatan Tetap, Amirul Imran Ahmat, berkata had kelayakan pinjaman itu adalah berdasarkan kepada dokumen Kertas Panel Pelaburan yang disediakannya bagi proses pembiayaan kepada SRC.

Loading...

Amirul Imran yang menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Razak pada sesi soal balas, berkata beliau sehubungan itu mengesyorkan kepada KWAP bahawa had kelayakan pinjaman SRC hanya RM1 bilion.

Amirul Imran menolak cadangan Harvirdenjit bahawa pendiriannya terhadap had kelayakan pinjaman RM1 bilion itu berubah selepas beberapa tahun KWAP memberikan pinjaman tambahan kepada SRC pada tahun 2012.

Saksi itu berkata, beliau sentiasa dengan pendirian berdasarkan kepada pernyataan saksi bahawa SRC hanya layak kepada pinjaman RM1 bilion bagi pinjaman pertama itu.


Pada perbicaraan sebelum ini, Amirul Imran memberitahu mahkamah, beliau mengemukakan emel kepada Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, pada 30 Jun 2011 bagi mendapatkan beberapa dokumen tambahan butiran komprehensif pelaburan sedia ada IMalaysia Development Berhad (1MDB) bagi pinjaman pertama RM3.95 bilion untuk SRC.

Saksi itu kemudian menjelaskan, beliau menerima emel daripada Nik Faisal yang menyatakan bahawa 1MDB tidak dapat memberikan dokumen berkenaan kerana projek hartanah masih di peringkat perancangan utama.

Berikutan itu, saksi ke-29 pendakwaan itu memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau diarahkan ketuanya Allahyarham Ahmad Norhisham Hassan untuk menyediakan kertas cadangan bagi kelulusan Panel Pelaburan untuk pinjaman RM1 bilion saja.

Sementara itu, saksi berkata bahawa Panel Pelaburan KWAP akan menolak permohonan pinjaman kepada SRC jika mereka boleh berbuat demikian.

Harvinderjit: Adakah panel KWAP boleh menolak Kertas Pelaburan bagi pinjaman SRC?

Saksi: Boleh, tetapi saya bukan ahli panel dan tidak boleh beri cadangan seperti itu kepada panel.

Amirul Imran juga bersetuju dengan peguam itu yang beliau mengeluarkan pendapat peribadi bahawa Panel Pelaburan tiada pilihan melainkan meluluskan pinjaman itu.

Katanya ia juga adalah pendapat peribadinya bahawa Panel Pelaburan tidak mempunyai pilihan melainkan menangguhkan Kertas Pelaburan yang mengesyorkan had kelayakan pinjaman SRC hanya RM1 bilion.

Harvinderjit: Adakah kedudukan kamu bahawa KWAP boleh mengurangkan risiko pembayaran dengan mengehadkan pinjaman SRC kepada RM1 bilion?

Saksi: Ya

Harvinderjit: Adakah KWAP mengesyorkan untuk mengenakan terma tambahan bagi pembiayaan RM2 bilion kepada SRC?

Saksi: Ya, kerana kami meminta jaminan kerajaan, selain hanya jaminan korporat daripada 1MDB.

Harvinderjit turut mencadangkan kepada Amirul Imran bahawa saksi itu mengesyorkan dua pilihan kepada KWAP untuk mengurangkan risiko pembayaran balik pinjaman berkenaan.

Harvidenrjit berkata, pilihan pertama adalah memberikan pinjaman RM2 bilion itu kepada SRC dengan disokong oleh Jaminan Kerajaan dan mengagihkan dana kepada 1MDB.

Peguam itu berkata, pilihan kedua ialah mengagihkan wang itu kepada kerajaan dan menamakannya (kerajaan) sebagai peminjam.

Saksi kemudian mengesahkan bahawa beliau mengemukakan dua cadangan itu.

Ditanya Harvinderjit berhubung perbezaan di antara kerajaan sebagai penjamin dan kerajaan selaku peminjam, saksi itu berkata jika pinjaman dijamin kerajaan, maka KWAP perlu menunggu sehingga terdapat keingkaran dalam pembayaran balik sebelum menghubungi Putrajaya bagi mendapatkan pembayaran.

“Bagaimanapun, jika kerajaan adalah peminjam bagi pinjaman ini, kita tidak perlu menunggu pembayaran balik dimungkiri kerana kerajaan perlu menunaikan tanggungjawab membayar secara langsung,” katanya.

-memetik laporan Berita Harian

Loading...