Header Ads

RM1.65 bilion bakal dipulangkan As, Singapura kepada Malaysia

foto sumber internet

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka menerima pulangan sebanyak AS$400 juta atau RM1.65 bilion dari Amerika Syarikat (AS) dan Singapura yang didakwa disalah guna daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemulangan itu adalah hasil positif daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat yang bersedia untuk memulangkan AS$200 juta atau RM828 juta kepada Malaysia.

Loading...

“Saya dengar mengenai perkara ini (pemulangan dana 1MDB) dan saya rasa mereka (AS) tahu itu wang milik Malaysia. Bukan saja AS, malah Singapura juga akan pulangkan duit kita.

“Kita berharap dapat balik pulangan AS$7 bilion daripada 1MDB,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan AlBukhary di Kuala Lumpur hari ini.


Media melaporkan, Washington semalam berkata, jumlah wang itu akan dipulangkan minggu depan dan proses persediaan ke arah itu sedang dilakukan pihaknya.

Jumlah keseluruhan termasuk kira-kira AS$140 juta (RM579 juta) daripada penjualan saham Hotel Park Lane di New York dan kira-kira AS$60 juta (RM248 juta) lagi daripada penyelesaian yang dibayar oleh penerbit filem ‘Wolf of the Wall Street’.

Sebelum ini, PH meminta bantuan negara dari Switzerland dan Singapura untuk mengesan serta memulangkan AS$4.5 bilion (RM18.6 bilion) yang diselewengkan daripada 1MDB.

Malaysia memperoleh AS$126 juta (RM521 juta) bulan lalu hasil penjualan kapal persiaran mewah yang pernah dimiliki ahli perniagaan buruan, Jho Low, yang digambarkan dalang skandal itu.

Ia adalah jumlah wang terbesar diperoleh semula Malaysia berkaitan 1MDB, selepas menerima AS$11.1 juta (RM46 juta) daripada Singapura tahun lalu.

-memetik laporan sinar harian

Loading...