Header Ads

Protes gaji tertunggak, penulis kolum Ku Seman Ku Hussain tinggalkan Utusan Malaysia

foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 16 Mei — Penulis kolum Utusan Malaysia memutuskan untuk berhenti menulis di akhbar itu sebagai tanda protes terhadap pengurusan tertinggi yang gagal membayar gaji pekerja.

Ku Seman Ku Hussain berkata tindakan itu juga sebagai tanda simpati kepada bekas pekerja yang masih belum mendapat pampasan skim pemberhentian sukarela (VSS).

Loading...

“Kepada pembaca-pembaca kolum Dari Puncak di Utusan Malaysia, dengan ini dimaklumkan saya telah menamatkan kolum tersebut bermula Jumaat ini,” catatnya di laman blog.

“Keputusan ini adalah protes saya terhadap pengurusan tertinggi Utusan Melayu dan tanda simpati kepada kawan-kawan yang masih bekerja dan yang telah mengambil VSS.”

Bekas pengarang Mingguan Malaysia  itu yang berkhidmat lebih 30 tahun berkata sejak beberapa bulan lalu pengurusan tertinggi Utusan Melayu  gagal membayar gaji dan VSS tepat pada masanya.


“Saya faham keadaan kewangan Utusan Melayu dan sanggup menulis dengan percuma bermula 27 September 2018 dan berakhir 3 Mei 2019.

“Lebih kurang 30 artikel semuanya. Matlamatnya mahu membantu tempat lama saya,” katanya

“Tetapi melihat keadaan kawan-kawan terabai, hujung bulan bagai menunggu buah yang entah bila gugurnya, tidak ada ertinya sumbangan saya kepada organisasi ini.

“Saya zahirkan simpati kepada kawan-kawan dengan protes ini,” katanya lagi.

Akhbar Melayu tertua itu pada September tahun lalu menawarkan VSS kepada 800 kakitangannya ekoran krisis kewangan.

Selain edaran akhbar yang makin merosot, pemegang saham terbesarnya Umno turut melepaskan penguasaannya selepas kalah pilihan raya umum 9 Mei lalu.

-Projek MM

Loading...