Header Ads

Permohonan Rosmah tolak isytihar harta diputuskan 24 Mei


KUALA LUMPUR - Permohonan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan notis pihak pendakwaan terhadapnya mewajibkan pengisytiharan perolehan harta dalam kes pengubahan wang haram akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Mei ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas selepas mendengar hujahan daripada pihak Rosmah, yang diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon, Reza Rahim, N. Rajivan dan Datuk K. Kumaraendran dan pihak pendakwaan diketuai imbalan Pendakwa Raya, Datuk Sri Gopal Ram.

Loading...

Terdahulu, Sri Ram dalam hujahannya berkata notis diberikan kepada Rosmah bagi mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 49 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bukan peruntukan bagi perbicaraan, sebaliknya   terma khas sebelum prosiding bicara bermula.

Pihak pendakwaan, katanya, berhak untuk mendapatkan pendedahan terhadap harta yang menjadi perkara asas dalam kes membabitkan aktiviti pengubahan wang haram itu.

Katanya, undang-undang dan peruntukan perlembagaan membenarkan peruntukan Seksyen 49 itu bagi tujuan sebelum perbicaraan.

Sementara itu, Reza berkata notis tersebut adalah tidak adil kerana diminta untuk mengisytihar harta dan dibicarakan pada masa sama melibatkan isu sama.

Pada 4 Okt lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Rosmah, 67, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang di sini, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 4 Dis 2013 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, beliau didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan. - BERNAMA

Loading...