Header Ads

Najib minta KWAP cepatkan proses kelulusan pinjaman RM2 bilion - Saksi

foto sumber internet

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mempercepatkan proses kelulusan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada SRC International Sdn Bhd,

Naib Presiden Jabatan Perundangan dan Kesetiausahaan KWAP, Azlida Mazni Arshad, 47, berkata satu mesyuarat khas yang tidak dijadualkan pada peringkat awal telah diadakan iaitu Mesyuarat Panel Pelaburan Khas No 1/2011 bertarikh 19 Julai 2011 bertujuan untuk membentangkan Kertas Panel Pelaburan Khas No 1/1/2011 yang disediakan Jabatan Pendapatan Tetap KWAP.

Loading...

"Saya camkan ini adalah kertas cadangan untuk pertimbangan Panel Pelaburan KWAP bagi kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC untuk tujuan modal kerja dan pelaburan am," katanya pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tujuh tuduhan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-35 berkata beliau dimaklumkan mengenai kelulusan pinjaman itu pada satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Pengerusi KWAP Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah pada 19 Julai 2011.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff mengapa pinjaman itu perlu disegerakan, saksi itu berkata ia berdasarkan mesyuarat yang dipersetujui sebelumnya memandangkan terdapat arahan agar ia dipercepatkan.


"Saya sahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Azian Mohd Noh ada memaklumkan dalam mesyuarat tersebut bahawa Perdana Menteri telah memaklumkan Pengerusi KWAP untuk mempercepatkan proses kelulusan pinjaman ini dan jumlah pinjaman sebanyak RM2 bilion sudah mencukupi.

"Dalam mesyuarat itu, Jabatan Pendapatan Tetap KWAP telah membentangkan kertas cadangan yang syarat dan terma pinjaman kepada SRC diperketatkan dengan syarat tambahan.

"Antara syarat tambahan itu adalah untuk SRC mendapatkan jaminan daripada Kerajaan Malaysia, mendapatkan jaminan korporat daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta mengemukakan letter of comfort/awareness daripada Kementerian Kewangan Malaysia," katanya.

Tambahnya lagi, syarat khas juga ditetapkan supaya tiada pertukaran struktur milikan SRC dan syarikat tersebut akan diletakkan secara terus di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Katanya selepas kertas cadangan itu dipertimbangkan, Panel Pelaburan Khas berpendapat bahawa pinjaman RM2 bilion adalah terlalu besar bagi sebuah syarikat yang bermodal berbayar RM2 sahaja.

"Oleh itu, ahli panel bersetuju untuk memberikan pinjaman hanya RM1 bilion seperti dalam kertas cadangan asal sepertimana dibincangkan dalam Mesyuarat Panel Pelaburan pada 5 Julai 2011," katanya.

Beliau berkata ahli panel bersetuju untuk mempertimbangkan sekiranya pinjaman diberikan secara terus kepada 1MDB yang dimiliki penuh oleh MKD dan bukan kepada SRC.

Katanya, ia memandangkan 1MDB mempunyai pengurusan kewangan, disiplin dan tadbir urus yang dikawal selia oleh MKD selain risiko berkaitan pelaburan SRC terutamanya risiko pembayaran, risiko overconcentration, risiko negara dan risiko industri serta keupayaan dan kewibawaan pihak pengurusan SRC dalam pelaburan sumber asli yang memerlukan kepakaran yang tinggi.

"Ahli panel turut berpendapat peruntukan pinjaman tidak perlu dikeluarkan secara sekali gus sebaliknya harus dibuat secara berperingkat dan disertakan dengan dokumen keterangan," katanya.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, mesyuarat bersetuju untuk meluluskan pinjaman sebanyak RM2 bilion pada 23 Ogos 2011 kepada 1MDB selepas mengambil kira pandangan ahli panel seramai enam orang termasuk Pengerusinya Datuk Mohammed Azlan Hashim dan bekas Menteri di Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

"Pinjaman itu diluluskan berdasarkan sokongan KWAP terhadap Inisiatif Strategik Kerajaan, dengan syarat jaminan daripada KWAP adalah kepada 1MDB dan bersandarkan Jaminan Kerajaan atau KWAP memberikan pinjaman terus kepada Kerajaan Malaysia sebagai peminjam dan seterusnya Kerajaan memberikan pinjaman kepada 1MDB," katanya.

Saksi itu berkata KWAP juga meluluskan permohonan SRC untuk menukar milikan daripada 1MDB kepada MKD pada 15 Feb 2012.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Selasa. - Bernama

Loading...