Header Ads

Najib dapat elaun khas RM1j pada Mei 2018


Saksi ke-27 memberitahu di Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah menerima pendapatan termasuk bayaran khas sebanyak RM1.017 juta juta pada Mei 2018.

Zarina Yusuf, 49, yang merupakan Timbalan Ketua Akauntan (Pengurusan) di Jabatan Perdana Menteri berkata, selain RM1.017 juta Najib juga turut menerima gaji sebanyak RM6,627 yang diterima Najib pada bulan yang sama.


Loading...
"Bayaran itu dalam kapasiti Najib sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan ia dibayar oleh Kerajaan Malaysia. Namun jumlah RM6,627 itu adalah dikira dari 1 hingga 9 Mei tahun lalu yang ketika itu beliau masih lagi sebagai Perdana Menteri," katanya seperti dilapor Kosmo Online.

Zarina berkata demikian selepas pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berhubung pembayaran gaji yang dibuat pada Najib pada hari ke-12 perbicaraan kes tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali hari ini.

Ketika ditanya Muhammad Izzat, apakah maksud pembayaran khas, saksi kemudian menjawab tidak pasti mengenai hal tersebut.

Terdahulu saksi itu turut memberitahu bahawa Najib juga pernah menerima dua lagi bayaran khas berjumlah RM22, 826 pada Disember 2011 dan RM11,413 pada Januari 2013 yang kesemuanya berjumlah RM34,239.

Mengulas lanjut, saksi itu berkata pada Januari hingga April 2009, pendapatan Ahli Parlimen Pekan itu adalah sebanyak RM48,681 sebulan.

Jumlah pendapatan itu kemudian naik kepada RM58,605 bermula pada Mei 2009 hingga April 2018.

Perbicaraan bersambung lagi petang ini.

Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Loading...