Header Ads

Mahkamah diberitahu RM42 juta Ihsan Perdana masuk ke akaun peribadi Najib


Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa wang berjumlah RM42 juta dari akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd dipindahkan ke dalam dua akaun peribadi milik bekas perdana menteri, Najib Razak.
Pengurus Affin Bank cawangan The Curve, Noorhayati Mohd Yunus, 44, mengesahkan pemindahan wang itu berdasarkan penyata akaun Affin Bank atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd bagi tempoh 1 Jan 2014 hingga 31 Dis 2015.

Loading...
“Tiga pemindahan wang dari akaun Affin milik Ihsan Perdana bernombor 106180001108 itu sebanyak RM27 juta dan RM5 juta pada 26 Dis 2014, serta RM10 juta pada 10 Feb 2015.
“Saya merujuk kepada borang Permohonan Kiriman Wang dan mengesahkan bahawa semua wang itu dimasukkan ke dalam dua akaun AmPrivate Banking 1MY dan MY yang bernombor 2112022011880 dan 2112022011906 (milik Najib),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho Kheng Fuei pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Terdahulu, ketika dirujuk kepada Borang Pembukaan Akaun Perniagaan milik Ihsan Perdana, saksi pendakwaan ke-30 itu mengesahkan penandatangan yang diberi kuasa bagi akaun itu adalah Abdul Aziz Ismail, 67, dan Shamsul Anwar Sulaiman, 58.

Dalam prosiding itu, Shamsul turut hadir ke mahkamah untuk proses pengecaman oleh Noorhayati.
Terdahulu, Noorhayati mengesahkan bahawa syarikat Ihsan Perdana atau nama asalnya Gem Horizon Sdn Bhd mempunyai tiga akaun di Affin Bank dan dua daripadanya masih aktif sehingga kini.
“Akaun Gem Horizon Sdn Bhd dibuka pada 5 Ogos 2011, manakala dua akaun lagi atas nama Ihsan Perdana pada 5 Jan 2012 dan 1 Jun 2012.
“Pada 24 Okt 2011, Gem Horizon ditukar kepada nama Ihsan Perdana. Saya mengesahkan Borang 13 Akta Syarikat 1965 (borang penukaran nama syarikat) ini diterima daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd bersama-sama permohonan syarikat untuk membuka akaun di Affin Bank pada 5 Jan 2015,” katanya.
Ihsan Perdana adalah anak syarikat yang mengendalikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk SRC International Berhad.
Sementara itu, Noorhayati memberitahu mahkamah bahawa wang berjumlah RM50 juta dimasukkan ke dalam akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd secara berperingkat antara 2014 dan 2015.
“Saya merujuk kepada penyata akaun atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd bagi tempoh 1 Jan 2014 hingga 31 Dis 2015.

“Saya mengesahkan kemasukan wang berjumlah RM40 juta pada 24 Dis 2014, RM5 juta pada 5 Feb 2015 dan RM5 juta pada 6 Feb 2015,” katanya.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Read yang mewakili Najib, saksi itu berkata beliau tidak tahu sama ada wang yang terlibat dalam pemindahan dari Gandingan Mentari ke akaun Ihsan Perdana adalah dari SRC International atau tidak.
Farhan Read: Adakah kamu tahu sama ada sumber wang itu berasal dari SRC International?
Noorhayati: Saya tidak tahu.
Sementara itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permintaan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memulakan perbicaraan sedikit lewat esok oleh kerana beliau perlu hadir di Mahkamah Rayuan esok yang ditetapkan untuk keputusan rayuan Najib berhubung penolakan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Pasukan pendakwaan tidak membantah permintaan Muhammad Shafee.
Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan bersambung esok.
- Bernama

Loading...