Header Ads

Land Swap: Sesiapa boleh disiasat termasuk Perdana Menteri


Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihak berkuasa boleh menyiasat sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri berhubung projek pertukaran tanah (land swap) Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, tiada sesiapa di negara ini yang berada di atas undang-undang termasuk Perdana Menteri.


Loading...
“Polis (pihak berkuasa) akan siasat Perdana Menteri juga. Tiada sesiapa berada di atas undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Ke-8 di Bangunan Perdana Putra di sini, lapor Utusan Online hari ini.

Beliau sebelum itu melancarkan myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam dan Panduan Penetapan Tempoh Masa Dalam Carta Alir.

Minggu lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam sidang akhbar mendakwa pelaksanaan 13 daripada 16 projek land swap terbabit didapati melibatkan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan.

Hasil laporan Jawatankuasa Siasatan tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang itu turut mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan daripada projek tersebut melebihi RM500 juta.

Kesemua 16 projek itu terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan yang telah dan akan dipindah milik.

Mohamad bagaimanapun menafikan Dr. Mahathir terlibat dalam penyelewengan tersebut walaupun mengakui kaedah land swap itu dimulakan sejak tahun 1997 ketika Dr. Mahathir pertama kali menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, berhubung tindakan kerajaan Malaysia menghantar pulang seorang wanita yang dikehendaki pihak berkuasa Thailand berkait pandang anti monarki, Perdana berkata, hal tersebut merupakan masalah melibatkan negara Thailand.

“Itu masalah mereka, bukan kita. Kalau ada permintaan kita terpaksa hantar balik,” katanya.

Menjawab laporan Bloomberg bahawa para pelabur semakin ‘hilang sabar’ dengan Malaysia, Perdana Menteri berkata, hakikatnya Malaysia berada pada tahap yang baik dan para pelabur terus datang ke negara ini.

“Kita berharap kepada pihak media. Kalau kita meraih kedudukan yang bagus sebagai negara yang baik untuk pelaburan, tetapi pakar-pakar hebat menulis Malaysia teruk seolah-olah dalam peperangan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan mengkaji sama ada wujud keperluan menyiarkan dapatan insiden 13 Mei 1969 kepada umum berikutan cadangan segelintir pihak.

Berhubung dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bahawa terdapat staf lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam, Perdana Menteri melihat ia bukanlah sebagai satu bentuk gangguan.

“Kadangkala terdapat perselisihan pendapat jadi, perlu ditegurlah,” katanya.

Loading...