Header Ads

'Kali terakhir Jho Low hubungi saya semasa rundingan ECRL' - Daim

foto sumber internet

Daim Zainuddin mendakwa Jho Low menawarkan bantuan berhubung perbincangan dengan Beijing mengenai projek Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL), namun perkara itu dinafikan jurucakap ahli perniagaan yang kini dalam buruan itu.

"Kali terakhir (Jho Low) berhubung dengan saya adalah semasa (rundingan) ECRL.

Loading...

"Maksud saya, saya menolak, saya kata, 'Tidak perlu'," kata bekas pengerusi majlis penasihat kerajaan itu kepada South China Morning Post (SCMP).

"Dia (Jho Low) kata dia boleh bantu ... Jadi saya berkata, 'Mengapa kamu tidak datang ke sini? Datang dan ceritakan kepada saya di sini '," tambahnya.

Diminta mengulas lanjut, Daim, yang tidak mendedahkan tempat dan waktu tawaran itu dibuat, hanya menyatakan bahawa Jho Low adalah "lebih rumit daripada ECRL."


Bagaimanapun, dalam respons kepada SCMP, jurucakap Jho Low menafikan dakwaan Daim.

"Jho Low tidak pernah mempunyai hubungan dengan Daim dan apa-apa pernyataan yang sebaliknya adalah tidak benar dan secara mutlak dinafikan," kata jurucakap itu.

Jho Low, yang dituduh sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB dan dikenakan dakwaan mahkamah di Malaysia dan AS, dipercayai berada di China.

Jho Low juga dikehendaki oleh pihak berkuasa Singapura.

Ini bukan kali pertama Daim mendakwa Jho Low menghubunginya.

Pada November lalu, Daim mendakwa perkara sama, dengan berkata bahawa Jho Low mahukan imuniti sebagai pertukaran untuk mencari aset yang dikaitkan dengan 1MDB.

Isnin lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa pihak berkuasa Malaysia masih memburu Jho Low.

"Masih ada banyak wang yang hilang, apa yang kita berjaya dapatkan semula tidak banyak - kurang daripada RM2 bilion. Dia mencuri RM42 bilion daripada 1MDB," katanya.

Mahathir juga berkata terdapat persoalan yang tidak dijawab seperti di mana dana itu disalurkan dan pihak yang menerimanya.

Daim adalah perunding utama Putrajaya untuk mengkaji semula projek ECRL yang dicetuskan pada era Najib Razak. Daim mengunjungi Beijing bulan lepas bagi berbincang tentang projek itu.

Susulan rundingan semula perjanjian ECRL, kerajaan Malaysia memutuskan untuk meneruskannya selepas kosnya dipotong sebanyak RM21.5 bilion.

Mahathir menegaskan bahawa dalam rundingan itu, tiada syarat dikenakan untuk China menghantar Jho Low pulang.

-MalaysiaKini

Loading...