Header Ads

Islam dipandang jijik jika pemimpin tidak ada intergriti

foto sumber internet

Islam dipandang jijik jika pemimpinnya tidak berakhlak mulia dan tidak berintegriti, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata negara perlu dibangunkan dengan baik menerusi akhlak yang murni dalam kalangan pemimpin kerana merekalah juga yang akan mencorakkan rakyat.

Loading...

"Cakap pasal Islam berdegar-degar tapi orang (terutama bukan Islam) naik muak dan jijik dengan Islam.

"Dia (orang bukan Islam) rasa jijik dengan Islam kerana dia nampak akhlak orang Islam yang cakap pasal Islam tapi tak amanah, mengamalkan rasuah, bersikap perkauman dan menyebarkan risalah kebencian.

"Tak ada satu usaha pun untuk membangunkan negara ini dengan (nilai-nilai yang) baik," katanya ketika berucap selepas mendengar taklimat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan menghadiri majlis berbuka puasa di Dataran Kenaf, Kota Bharu hari ini.


Turut hadir Pengerusi LKTN Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Justeru, Khalid mengajak semua lapisan masyarakat - tanpa mengira fahaman politik - untuk bersama-sama membangunkan negara agar ia kembali dikenali sebagai Harimau Asia.

"Allah dah tetapkan sunnatullah begitu. Bangsa dan kaum yang mempunyai akhlak akan maju walaupun akidahnya songsang, negara itu Allah bagi (kemajuan).

"Tapi golongan yang akidahnya 'canggih', boleh berbahas berjam-jam mengenai Islam tetapi akhlaknya hancur, (maka) hancurlah negara itu," katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata kerajaan Persekutuan pimpinan PH tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang mempunyai pendirian politik berbeza dengan parti pemerintah.

Bagaimanapun katanya, sebagai penjawat awam, mereka perlu memberi sokongan kepada kerajaan yang memerintah hari ini ke arah satu matlamat yang telah dipersetujui oleh majoriti rakyat Malaysia.

"Kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak (penjawat awam) untuk menyertai parti politik tapi kita sebagai kerajaan dan tuan-tuan sebagai kakitangan kerajaan kena berikan khidmat yang jujur demi membantu kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi negara.

"Kalau ada yang tak mahu terima itu sebagai matlamat bersama atas alasan tak nak sokong PH, kamu tak khianati PH, tapi kamu khianati rakyat dan negara," katanya.

- Bernama

Loading...