Header Ads

Hamid Bador dilantik sebagai IGP baru berkuat kuasa 4 Mei ini


PUTRAJAYA: Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik secara kontrak sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa Sabtu ini.

Loading...

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata pelantikan Abdul Hamid telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

"Pelantikan secara kontrak selepas bersara Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 4 Mei ini hingga 3 Mei 2021. Ia dibuat di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Abdul Hamid akan menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib pada 3 Mei.

Abdul Hamid yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958 di Kuala Lumpur telah memegang pelbagai jawatan penting, antaranya Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstremis Luar dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Abdul Hamid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan serta tanggungjawab menerajui PDRM.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohamad Fuzi di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 4 Sept 2017.

-- BERNAMA

Loading...