Header Ads

Gerakan gesa k'jaan PH mansuh matrikulasi


Presiden Gerakan Dominic Lau menggesa Putrajaya untuk memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan kelulusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) sebagai kaedah standard kemasukan pelajar ke universiti awam.
Pada suatu kenyataan hari ini, Lau berkata PH perlu memiliki keberanian untuk melakukan sesuatu yang betul bagi menghentikan layanan tidak adil terhadap para pelajar.

Loading...
"Amat wajar secara politiknya untuk menghentikan layanan tidak adil terhadap para pelajar, yang juga rakyat Malaysia.
"Ia menandakan permulaan sebuah pentadbiran tanpa amalan diskriminasi di bawah kerajaan PH yang menyasarkan untuk membina Malaysia Baru," kata kenyataannya.
Presiden Gerakan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin yang dipetik laporan The Malaysian Insight berkata program matrikulasi sudah tidak relevan lagi kerana tujuan asal bagi mengimbangi agihan kaum di universiti sudah ditangani.
Bagaimanapun, Daim menjelaskan pembangkang akan menjadikan ia sebagai isu untuk mengkritik PH sekiranya matrikulasi dihapuskan.
Program matrikulasi merupakan pengajian prauniversiti dan hanya diiktiraf oleh universiti awam. Kemasukan ke program tersebut dibuat berdasarkan kuota 90 peratus untuk bumiputera dan selebihnya untuk bukan bumiputera.

Lau juga mendakwa Daim cuma memberikan alasan pada ketika PH sedang mengambil "langkah-langkah pembetulan" bagi menangani "ketidakadilah terhadap kaum bukan Melayu."
Pemimpin Gerakan juga menyenaraikan polisi yang memberi kesan terhadap kaum bukan Melayu, termasuklah menunda pengiktirafan Sijil Peperiksaaan Bersepadu (UEC), kemasukan ke universiti awam dan dana kerajaan untuk sekolah vernakular.
Lau selanjutnya menggesa DAP untuk bersuara terhadap Daim kerana 'berdalih' untuk mengekalkan program matrikulasi.
Gerakan merupakan sebahagian daripada kerajaan BN yang memperkenalkan program matrikulasi pada 1990.
Ketika bersama BN, Gerakan tidak pernah membantah program ini secara terbuka. Gerakan meninggalkan gabungan BN pada Jun tahun lalu.
Program matrikulasi mendapat liputan meluas baru-baru ini selepas Putrajaya mengumumkan akan menambah kemasukan daripada 25,000 pelajar kepada 40,000 orang. - Malaysiakini

Loading...