Header Ads

Esscom akan distruktur semula – Mat Sabu


Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan distruktur semula bagi mempertingkatkan lagi keselamatan di pantai timur negeri ini, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang berbincang mengenai keputusan itu, termasuk usaha memperoleh peralatan tambahan bagi memantapkan tugas pasukan keselamatan di bawah ESSCom.

Loading...


“MKN bersama kerajaan negeri akan melihat tugas-tugas yang akan disusun semula.

“Kementerian Pertahanan dapat peruntukan tambahan sebanyak lebih RM200 juta dan akan diagih untuk mempertingkatkan tugas keselamatan oleh ESSCom,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada ceramah umum bagi calon DAP Vivian Wong Shir Yee untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan malam tadi.

Mohamad, yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata perintah berkurung yang dilaksanakan di perairan pantai timur Sabah juga akan diteliti dari semasa ke semasa jika perlu diteruskan.



Menurutnya, keselamatan di timur Sabah terkawal dan menyaksikan insiden penculikan untuk wang berkurangan sejak kira-kira tiga tahun lepas.

“Kita juga tahu pelancong, terutama dari China, semakin ramai datang ke kawasan timur Sabah seperti Sandakan, Tawau dan Semporna.

“Ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap keselamatan di pantai timur Sabah yang semakin baik,” katanya. - Bernama

Loading...