Header Ads

Bukan pelajar cemerlang, tapi guru bangga Peja kini MB Perak


IPOH, 17 Mei — Tiada apa yang paling membanggakan, gembira selain teruja apabila anak didik yang disifatkan sebagai gemar bermain, malah bukan dalam golongan pelajar cemerlang kini bergelar seorang pemimpin.

Azizan Hashim, 64, berkata dia sama sekali tidak menyangka muridnya yang dikenali sebagai Peja kini memegang jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Loading...

Lebih mesra disapa sebagai Cikgu Zizan, wartawan sambilan Stadium Astro berkata beliau mengajar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semasa di tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh sekitar 1983.

“Tidak sangka dia akan jadi Menteri Besar Perak kerana mengenalinya ketika mengajar subjek pendidikan jasmani, Peja bukan dalam golongan pelajar cemerlang akademik, suka main-main dan jenis ‘happy go lucky’,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Guru yang diraikan semalam.

Azizan yang bergelar pendidik selama 39 tahun dan mengajar subjek bahasa Inggeris selain menjadi guru disiplin juga berkata di sebalik sikapnya itu, Ahmad Faizal seorang yang amat menghormati orang lain serta mempunyai daya kepimpinan tinggi.

Sebagai bekas guru disiplin, pastinya Azizan berharap Ahmad Faizal melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar dengan ikhlas, jujur, adil dan saksama selain mengutamakan kepentingan rakyat, tidak mengamalkan politik sempit, berpuak-puak jauh sekali menyalahgunakan kuasa.

“Peja perlu lebih serius dan tidak mengambil mudah terhadap tugas-tugas. Perlu tunjuk perwatakan dinamik sebagai seorang pemimpin. Dia perlu berusaha kikis imej, cerita-cerita negatif dan tanggapan buruk terhadap cara kepimpinannya,” katanya.

Azizan berkata sepanjang tempoh setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Ahmad Faizal telah menunjukkan kewibawaannya sebagai pemimpin walaupun ibarat baharu 'setahun jagung' tetapi beliau dan PH berusaha untuk menjadi kerajaan efektif serta cuba sedaya upaya berkhidmat untuk rakyat dalam merealisasikan Malaysia Baharu.

Azizan pernah menerima Pingat Penghormatan Guru kategori pesara pada Sambutan Perayaan Hari Guru 2018 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Menengah Sains Tapah, tahun lepas yang disampaikan sendiri Ahmad Faizal. — Bernama

Loading...