Header Ads

Umno terima bayaran cek RM1juta dan RM300,00 dari akaun Najib

 Foto sumber internet 

KUALA LUMPUR, 18 April — Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Umno Bahagian Johor Baru menerima pembayaran melalui cek masing-masing berjumlah RM1 juta dan RM300,000 daripada akaun Ambank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2015.

Pengurus Kanan Pusat Pemprosesan Cek Ambank, Badrul Hisam Mohamad, 45, berkata kesemua cek itu telah berjaya ditunaikan berdasarkan kepada maklumat yang lengkap dan mengesahkan tiada kesalahan terdapat pada kesemua cek berkenaan.

Loading...

Badrul Hisam berkata kedua-dua transaksi itu dikeluarkan melalui cek daripada akaun AmIslamic bernombor 2022011906.

Melalui pertuduhan pengubahan wang haram, dinyatakan bahawa nombor akaun 2022011906 adalah milik bekas perdana menteri itu.

Badrul Hisam, yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang pemprosesan cek turut mengesahkan sebuah parti dari Sabah iaitu Upko juga menerima pembayaran melalui cek bernilai RM1 juta manakala Trustee of Rumah Penyayang Tun Abdul Razak menerima bayaran RM400,000 melalui cek daripada akaun sama.


Semasa pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi meminta saksi itu membuat pengesahan ke atas kesemua cek berkenaan pada hari kelima perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Selain itu, Badrul Hisam juga mengesahkan sebanyak 13 lagi cek telah dikeluarkan daripada akaun AmIslamic Bank bernombor 2022011906  (akaun Najib) kepada beberapa individu dan syarikat.

Saksi pendakwaan kelima itu mengesahkan juga pengeluaran cek dari akaun yang sama berjumlah RM240,000 kepada Syarikat Vital Spire Sdn Bhd; Zulqarnain & Co. berjumlah RM2.5 juta; Centre of Strategic Engagement Sdn Bhd sebanyak RM300,000, sejumlah RM238,914 kepada penerima bernama Lim Soon Peng; ABS Trend Master Sdn Bhd berjumlah RM100,000; Solar Dhine Sdn Bhd (RM1 juta); Asmadi Abu Talip (RM50,000); Manisah Othman (RM13,800); MOZ Malaysia Sdn Bhd (RM56,500) dan Syadilah Enterprise (RM77,300) antara 30 Januari dan 26 Februari 2015.

Badrul Hisam turut mengesahkan sekeping cek berjumlah RM3.5 juta telah dimasukkan ke dalam akaun penerima atas nama Hafarizam Wan & Aisha Mubarak melalui akaun bernombor 2022011898 pada 21 Januari 2015.

Beliau juga turut mengesahkan dua keping cek dikeluarkan oleh syarikat SRC International Sdn Bhd melalui dua transaksi kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd, masing-masing berjumlah RM20 juta dan RM103,361.17 pada 12 Disember 2014 dan 9 Mac 2015.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini. — Bernama

Loading...