Header Ads

Polis buka 7 kertas siasatan PRK Rantau


Polis membuka tujuh kertas siasatan secara berasingan yang berkaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam tempoh antara 30 Mac dan 3 April, yakni lima hari tempoh berkempen PRK itu.

Loading...
Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRK DUN Rantau, DSP Ahmad Jamaludin berkata laporan polis itu dibuka secara berasingan di bawah kesalahan-kesalahan membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat, Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 509 Kanun Keseksaan (mengucapkan perkara mengaibkan), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 24B (3) Akta Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 24B (10) Akta Pilihan Raya 1954.
"Tujuh kertas siasatan yang dibuka itu adalah daripada 34 laporan polis yang diterima sejak hari penamaan calon (30 Mac) sehingga semalam. Pihak polis menahan tiga lelaki sepanjang tempoh lima hari itu, iaitu dua tangkapan bagi Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan satu tangkap bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Mereka berumur dalam lingkungan 40-an hingga 50-an," katanya pada sidang media di Seremban, hari ini.
Katanya dua yang ditangkap di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu melibatkan kesalahan membakar bendera, manakala seorang lagi yang ditangkap di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berikutan kesalahan mengugut melalui telefon.

Katanya dua daripada mereka yang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan ditahan reman tiga hari, manakala seorang yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan ditahan reman dua hari.
"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kita perlu mendapatkan arahan untuk menyiasat daripada Timbalan Pendakwaraya. Berdasar aduan pengadu dia menghina dan mengaibkan iaitu maki hamun di dalam aplikasi whatsapp," katanya.
Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa calon Bebas R. Malarvizhi telah membuat laporan polis hari ini mengenai sumbangan peribadi seorang anggota Parlimen berbentuk kupon program makanan percuma bernilai RM75,000 kepada 300 murid kurang berkemampuan dari lima buah sekolah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, baru-baru ini.
"Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada pukul 10.45 pagi dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya," katanya.
Beliau turut mengesahkan seorang pengundi bagi PRK DUN Rantau membuat laporan polis semalam selepas menerima panggilan telefon memintanya mengambil wang RM50 di kaunter Barisan Nasional (BN) sebelum mengundi pada 13 April nanti.
"Laporan polis itu kita klasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Mahkamah (RKM) untuk tindakan selanjutkan iaitu saman sivil," katanya.
PRK DUN Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.
Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.
- Bernama

No comments


Loading...