Header Ads

PM: Rajin, ilmu dan amanah penentu kejayaan rakyat, negara

Foto oleh Bernama

SHAH ALAM — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia mampu melonjak semula sebagai Harimau Asia jika rakyat berpegang kepada tiga nilai hidup iaitu rajin, penguasaan ilmu serta beramanah.

Justeru, Perdana Menteri meminta generasi muda khususnya pemimpin pelajar menyemai nilai-nilai  tersebut kerana ia merupakan penentu kepada kejayaan bangsa dan negara.


Loading...
“Nilai hidup pertama ialah kerajinan, kalau otak geliga tapi tidak baca buku tidak boleh lulus tetapi  kalau otak tidak geliga rajin kejar (ilmu) insya Allah kita akan berjaya. Sebab itu kalau nak jadi bangsa berjaya mesti ada dua nilai hidup ini, kerajinan dan kepakaran dalam ilmu yang kita tuntut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama bertajuk ‘Kebangkitan Malaysia sebagai Harimau Asia’ ketika merasmikan Konvensyen Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam tadi.

Hadir sama isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

Dr Mahathir turut melancarkan Inisiatif Harimau Asia pada konvensyen sehari itu yang bertujuan memberi pendedahan serta pengetahuan untuk memperkasakan sistem nilai negara yang disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Inisiatif Harimau Asia merupakan satu penyataan semula naratif nasional untuk menjadikan Malaysia maju dengan mengambil semangat negara Harimau Asia iaitu negara-negara Asia Timur yang pernah mendapat pengiktirafan dunia sebagai negara maju kerana pertumbuhan ekonominya yang pesat dan rancak.

Perdana menteri dalam pada itu turut menarik perhatian kepada nilai hidup ketiga iaitu sifat amanah terutama dalam berhutang.

“Di negara kita ada berpendapat hutang tidak perlu bayar, bila kita ada pendapat macam itu banyak malapetaka akan menimpa kita bukan kita seorang sahaja tetapi kaum, bangsa kita. Bila orang yang selalu lokek tidak bayar hutang kita nak pinjam di mana pun orang tidak bagi sebab kita jenis tidak bayar hutang.

“Sebab itu kena beramanah janji nak bayar hutang kita kena bayar hutang, nak pinjam dari bank pun kena bayar balik. Kita dengar cerita PTPTN, (peminjam) bukan tiada duit, ada duit tapi tidak bayar sebab kita (peminjam) tidak berasa malu. Kalau kita tahu malu kita berhempas pulas bayar hutang dulu sebelum guna duit itu untuk kita, orang macam itu tidak akan hadapi masalah dalam hidup.

“Kalau orang tidak pernah bayar hutang, malas bayar hutang orang itu akan gagal, walaupun ada ilmu dan rajin tetapi hutang tidak bayar ini sebabkan kita gagal. Saya berpendapat jika amalkan tiga nilai hidup ini (kerajinan, penguasaan ilmu dan sifat amanah) bangsa dan negara akan berjaya serta kita akan mencapai negara maju,” katanya.

Dr Mahathir dalam pada itu mengulangi rasa kagumnya terhadap kebolehan dan kejayaan rakyat Jepun yang pada beliau harus dijadikan contoh oleh rakyat negara ini.

Beliau berkata rakyat Jepun mempunyai sifat malu yang tinggi sekiranya gagal dalam melakukan sesuatu tugas.

“Perasaan malu mereka amat sangat, apa kesannya dalam kehidupan mereka ialah mereka akan elak berasa malu kerana gagal. Sebab itulah bila orang Barat berjaya dalam satu bidang, meraka (rakyat Jepun) akan masuk dalam bidang sama dan usaha sendiri kuasai ilmu, kebolehan dan kecekapan mereka sehingga mereka berjaya melebihi pencapaian orang Barat,” katanya.

Beliau berkata orang Melayu boleh berjaya seperti orang Barat atau Jepun jika mereka berpegang kepada nilai-nilai hidup itu dengan memperbaiki kesalahan dan kelemahan yang ada. — Bernama

No comments


Loading...