Header Ads

Pemegang UEC layak sambung pengajian dalam TVET - Kula

Foto oleh The Star

Pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) layak untuk menyambung pengajian dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan, kata Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Beliau berkata bagaimanapun, mereka perlu menjalani Ujian Kecenderungan Kemahiran (UKK) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.


Loading...
"Kita mahu lebih ramai pelajar (mengambil TVET) dan kita mahu mempermudahkan, tak kisah jika mereka berkelulusan UEC atau pelajar dari sekolah Cina atau Tamil, semua orang boleh ambil TVET.

"Ini kerana ketika ini kerajaan memperuntukan lebih kurang RM4 bilion setahun dalam bidang TVET, jadi kita perlu lebih ramai golongan muda menyertai TVET kerana kita tidak mahu mereka ketinggalan sekiranya tidak mempunyai kelulusan akademik yang baik," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Cawangan Perak anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) hari ini.

Sijil UEC adalah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Dalam pada itu, Kula Segaran berkata pihaknya mahu menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli yang tidak mempunyai sebarang kelayakan untuk menyertai bidang TVET.

"Mengapa tidak kita beri peluang kepada Orang Asli mengikuti kursus-kursus kemahiran, kita beri sedikit kelonggaran asalkan mereka boleh menulis dan memahami sesuatu perkara berkaitan sudah cukup untuk mereka menyertai TVET," katanya.

Kula Segaran berkata ketika ini jumlah tenaga kerja mahir hanya sebanyak 28 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus menjelang tahun depan. - Bernama

No comments


Loading...