Header Ads

Noraini Ahmad dijangka dipilih sebagai pengerusi PAC

    Foto sumber internet

KUALA LUMPUR, 4 April — Anggota Parlimen Parit Sulong daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Noraini Ahmad dijangka dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Cadangan pemilihan itu disenaraikan di tempat ke sembilan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat yang dikeluarkan hari ini.

Loading...

Aturan mesyuarat itu menyebut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat cadangan itu bagi menggantikan Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang merupakan pengerusi PAC sebelum ini.

Dilapor isu Pengerusi PAC Parlimen menjadi hangat apabila Ronald yang sebelum ini anggota UMNO Sabah, bertindak keluar daripada parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), satu daripada komponen Pakatan Harapan (PH), bersama enam lagi wakil rakyat UMNO Sabah tahun lalu.

Ronald yang mempertahankan kerusi Parlimen Beluran sejak lima penggal atas tiket UMNO, dipilih sebagai Pengerusi PAC Parlimen buat pertama kali daripada blok pembangkang, berikutan janji manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menetapkan Pengerusi PAC Parlimen mesti dipilih dalam kalangan Anggota Parlimen pembangkang.


Ketika ditanya pemberita di lobi parlimen hari ini mengenai cadangan penggantian itu, Dr Mahathir berkata: “Kita telah berjanji anggota pembangkang (dilantik) sebagai Pengerusi PAC, tetapi apabila Kiandee tinggalkan Umno, kita tidak ada calon, jadi dia teruskan pada waktu itu.

“Kini kita sudah ada calon, kita kena tanya pada calon itu juga, sama ada beliau bersedia untuk mengambil tugas tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh yang mengesahkan perkara itu berkata ianya merupakan satu agenda dalam aturan mesyuarat, dan sekiranya aturan itu tidak berubah sehingga akhir sidang Parlimen, ia dijangka dibentang pada hari terakhir persidangan.

Juga sama ada agenda ini akan dibawa ke depan bergantung pada Parlimen, tambahnya.

Noraini ketika ditemui Bernama untuk mengulas perkara ini dengan ringkas berkata : “Tunggu sehingga usul dibawa ke Dewan Rakyat”. — Bernama

No comments


Loading...