Header Ads

Kerajaan PH komited perangi kleptokrasi, rasuah


Selepas hampir setahun menerajui pemerintahan negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya membersihkan Malaysia daripada imej ‘negara kleptokratik’ yang dilabelkan semasa pemerintahan terdahulu.

Ini dapat dilakukan hasil kesungguhan dan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa, selain menerapkan integriti dalam setiap lapisan masyarakat dalam era Malaysia Baharu ini.

Pemerhati politik Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata langkah itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia selaras dengan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 iaitu membebaskan Malaysia daripada gejala rasuah serta menggalakkan tadbir urus baik.


Loading...

“Beberapa siri tangkapan, siasatan dan dakwaan terhadap pelbagai individu menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menangani gejala rasuah itu,” kata pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Dalam tempoh itu juga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha gigih melaksanakan pembanterasan dan berjaya membawa beberapa kes rasuah melibatkan ahli-ahli politik ternama serta individu lain ke mahkamah.

“Kejayaan terbesar kerajaan adalah membersihkan nama Malaysia sebagai negara kleptokrasi.

“Kami rakyat Malaysia berharap pihak yang disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman setimpal kerana ia melibatkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, termasuk menyalahgunakan dana awam," katanya kepada Bernama.
Dalam ucap tama beliau pada Invest Malaysia 2019 minggu lepas, Dr Mahathir berkata dalam tempoh sepuluh bulan pertama pentadbirannya, kerajaan telah banyak membuang masa untuk menyelesaikan pelbagai masalah besar yang ditimbulkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mengulangi komitmen kerajaannya untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah, beliau menegaskan: “Sekarang kita tidak lagi dikenali sebagai sebuah negara kleptokrasi.

“Sukar untuk membayangkan apa akan berlaku kepada negara sekiranya majoriti rakyat Malaysia tidak bangkit menyahut seruan untuk menumbangkan kerajaan terdahulu. Kita telah dapat mengelakkan malapetaka kewangan yang hanya menanti masa untuk berlaku sekiranya skim penipuan untuk melindungi kesalahan-kesalahan 1MDB tidak ditemukan dan diperbetulkan,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata walaupun tugas itu belum berakhir dan mungkin mengambil masa beberapa tahun lagi untuk diselesaikan namun, kerajaan perlu terus mara ke hadapan untuk memajukan negara.

Berpendapat mana-mana kerajaan yang memerintah mestilah bersih, cekap dan amanah, Nik Ahmad Kamal berkata usaha itu akan hanya beroleh kejayaan sekiranya rasuah ditangani dengan tegas dalam kalangan pemimpin kerajaan mahupun penjawat awam di peringkat akar umbi.

Beliau berkata isu 1MDB harus menjadi iktibar kepada semua pihak tentang bagaimana sebuah kerajaan, yang telah memerintah untuk tempoh masa lama, berada dalam ‘zon yang amat selesa’ sehingga gagal mengatasi isu rasuah, salah guna kuasa dan integriti.

“Kerajaan (PH) perlu menyakinkan rakyat bahawa mereka telah menjalankan tugas dengan berkesan dan membuktikan mereka tidak mengamalkan sebarang bentuk rasuah. Jika gagal berbuat demikian, rakyat pasti hilang kepercayaan dan kerajaan PH mungkin akan mengalami cabaran besar pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pensyarah itu berkata kerajaan yang gagal mengatasi isu rasuah dianggap sebagai lemah dan tidak mempunyai integriti dalam melaksanakan tugas sebagai pemerintah.
Dalam mengutamakan pelaksanaan perang terhadap rasuah, beliau berkata kerajaan PH dilihat agak lewat dalam menunaikan janji-janji lain dalam manifestonya.

Dalam hal ini, Nik Ahmad Kamal berpendapat rakyat perlu bersabar kerana ada beberapa janji yang telahpun dilaksanakan kerajaan PH.

“Apa yang penting, PH berusaha menunaikan apa yang terkandung dalam manifestonya,” katanya sambil memberitahu bahawa keadaan ekonomi semasa turut memberi kesan kepada usaha kerajaan untuk menunaikan janjinya.

Menurutnya PH masih mempunyai masa empat tahun lagi untuk berusaha melaksanakan tugas sebagai kerajaan serta menunaikan janjinya kepada rakyat.
Semasa berkongsi pendapatnya pula, peguambela dan peguamcara Muhammad Hafiz Hood berkata kerajaan PH telah menunjukkan keterbukaan dan integriti tinggi dengan mewajibkan semua menteri Kabinet dan Anggota Parlimen serta isteri dan anak mereka membuat perisytiharan harta.

Ia juga selaras dengan janji dalam manifesto PH pada PRU14 lepas yang berjanji untuk mewajibkan kesemua anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan berpangkat Jusa C dan ke atas membuat pengisytiharan aset dan pendapatan.

Selain itu, katanya, cadangan bagi memastikan tender terbuka untuk setiap pelaksanaan projek di peringkat kementerian juga adalah antara usaha awal dan langkah kecil ke arah pembasmian rasuah.

“Kerajaan sentiasa meningkatkan usaha memperkasa SPRM dalam melaksanakan agenda pembersihan rasuah berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang bukannya secara pilih kasih.
“Justeru itu, ia perlulah disokong kerana ia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam membersihkan imej kleptokrasi dan menangani rasuah,” katanya sambil menjelaskan bahawa masyarakat turut memain peranan besar dalam menangani isu rasuah.

Menurutnya generasi muda juga perlu dididik membenci rasuah supaya kelak menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, berintegriti, amanah serta ikhlas.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal menggesa penjawat awam supaya menyokong dasar dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan.

“Penjawat awam dan kerajaan saling ‘bergantung’. Penjawat awam perlu taat kepada kerajaan semasa bukan atas dasar parti politik. Kerajaan boleh bertukar tetapi institusi penjawat awam itu kekal sentiasa berjalan dan melaksanakan tugas mereka mengikut kerajaan semasa,” katanya.

Beliau berkata terdapat penjawat awam yang sudah selesa dengan kerajaan sebelum ini menyebabkan mereka tidak dapat menerima cara, menyesuaikan diri dengan keadaan dan polisi tertentu yang diperkenalkan kerajaan baharu.

“Jadi, penjawat awam perlulah memain peranan untuk menyokong dan tidak memanipulasi sesuatu dasar atau keputusan sehingga boleh memberi impak negatif atau kegagalan kepada kerajaan,” katanya.

Kerajaan PH telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memerangi gejala rasuah termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), yang baru-baru ini menyarankan supaya diwujudkan mahkamah khas untuk membicarakan kes-kes rasuah.

Pada 1 Jun tahun lepas, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) ditubuhkan bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

GIACC yang diterajui bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed antara lain bertanggungjawab merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.
Selain itu, inisiatif lain kerajaan dalam usahanya membebaskan negara daripada rasuah adalah dengan memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP), yang dilancarkan Dr Mahathir pada 29 Jan lalu.

Pelan lima tahun itu menggariskan 115 inisiatif di bawah enam bidang keutamaan iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang serta tadbir urus korporat. - Bernama

No comments


Loading...