Header Ads

Kementerian siapkan kajian henti beli air terawat dari S'pura


Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang menyediakan kajian penuh berhubung usaha memastikan Johor tidak lagi bergantung kepada bekalan air terawat dari Singapura.

Menterinya Dr Xavier Jayakumar berkata kajian yang dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan negeri itu bagi mengenalpasti impak, rangka kerja, cadangan dan rundingan berhubung kebergantungan kepada sumber asas itu.


Loading...

“Kita mahu Johor pergantungan sifar dan kita tidak mahu mereka ambil air (terawat) dari Singapura lagi. Dalam masa yang sama kajian ini memastikan air di Johor mencukupi untuk masa akan datang.

“Hasil kajian ini saya akan kemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh sebulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Konservasi Air SPAN sempena sambutan Hari Air Sedunia di Petaling Jaya Boulevard di Petaling Jaya, hari ini.

Awal Mac lepas, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata kerajaan negeri itu merancang untuk tidak lagi mendapatkan bekalan air terawat dari Singapura sekali gus mahu menampung sendiri keperluan sumber itu.

Singapura bayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah, dan menjual semula air terawat kepada Johor pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen.


Ditanya mengenai paras air di empangan seluruh negara susulan cuaca panas yang melanda ketika ini, Xavier berkata paras air semua empangan kini berada dalam keadaan terkawal.

“Walaupun paras air sudah rendah di beberapa empangan tetapi ia bukan krtitikal, malah hujan sudah mula kembali dan dijangka beberapa kawasan yang dilanda kemarau akan dapat hujan bulan ini,” katanya.

Terdahulu Xavier turut mengumumkan pelantikan tujuh Anggota Suruhanjaya baharu bagi SPAN iaitu Steven Choong Shiau Yoon, Datuk Dr Abdul Rashid Maidin, Dr Gurdial Singh Nijar, Abdul Halim Jantan, V. Subramaniam, Faizal Parish Abdullah dan Sarajun Hoda Abdul Hassan.

Menurut Xavier kesemua mereka dipilih berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam bidang berkaitan sumber air.

“Mereka akan menentukan hala tuju SPAN dan memastikan perjalanan suruhanjaya ini berjalan lancar,” katanya. - Bernama

No comments


Loading...