Header Ads

'Jika bekerja dalam kerajaan tidak dibenarkan terima hadiah' - Tun M

    Foto oleh Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menegaskan anggota pentadbiran kerajaan tidak dibenarkan menerima hadiah.

Mengulas laporan penahanan seorang setiausaha politik menteri berhubung dakwaan menerima suapan berbentuk jam tangan berjenama, Dr Mahathir berkata terpulang kepada rakyat untuk menilai jenayah tersebut.

Loading...

“Jika seseorang menerima sesuatu sebelum menyertai kerajaan itu masalah mereka, bukan masalah kita.

"Hanya apabila anda bekerja dalam kerajaan anda tidak dibenarkan menerima hadiah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara KA Petra Sdn Bhd dan Hutchison Port Holdings Limited(Hutchison Ports) di sini untuk membangunkan Hab Pemindahan Kapal ke Kapal terbesar di dunia di Johor.

Seorang setiausaha politik menteri direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuab Malaysia (SPRM) selama empat bermula hari ini berhubung dakwaan menerima suapan berbentuk jam tangan berjenama Omega dianggarkan bernilai RM28,000.


Menurut laporan media, lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai menerima jam tangan mewah tersebut sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan itu mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan kementerian terlibat.

Dr Mahathir yang turut ditanya mengenai spekulasi Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI akan diadakan semula pada April ini, berkata beliau tidak boleh menjawab perkara itu berikutan ia masih dalam peringkat perbincangan.

Program itu yang dijalankan Jabatan Imigresen bermula pada 15 Februari 2016 dan tamat pada 30 Jun 2018 bertujuan memberi permit kerja sah kepada PATI bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata kerajaan akan memutuskan perkembangan terbaru mengenai isu sisa buangan Lynas Malaysia Sdn Bhd dalam mesyuarat Kabinet kelak.

"Mungkin akan berlaku perbezaan pendapat mengenai isu berkenaan dan ia adalah biasa. Namun, apa yang diputuskan oleh Kabinet kelak akan dianggap keputusan rasmi kerajaan," katanya.

Kerajaan pada Disember 2018 telah menetapkan dua syarat utama bagi Lynas untuk membolehkan mereka kembali memperbaharui lesen operasi mereka iaitu syarikat itu perlu menghantar 450,000 metrik tan sisa 'Water Leached Purification' (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini.

Selain itu mereka juga perlu mengemukakan pelan tindakan bagi melupuskan satu lagi sisa buangan iaitu 'Neutralisation Underflow Residue '(NUF) yang tidak mengandungi radioaktif.

Ini adalah tertakluk di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7) serta Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Selepas mematuhi syarat ini, barulah permohonan pembaharuan lesen boleh dipertimbangkan.

Apabila ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga gas asli cecair (LNG) untuk mengikuti langkah Singapura berikutan penurunan harga LNG, Dr Mahathir berkata gas itu kini dijual pada harga bersubsidi.

"Ia sangat rendah, lebih rendah daripada negara pengeluar minyak yang besar, apa lagi yang boleh anda minta?" katanya.

Menurut laporan media, harga LNG Asia telah jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh hampir tiga tahun dan tahap inventori yang tinggi di Asia Utara membendung permintaan import.- Bernama

No comments


Loading...