Header Ads

Isu kadar hibah TH tidak akan gugat kempen PRK rantau - Mahfuz Omar

   Foto oleh Yusof Mat Isa

SEREMBAN, 6 April — Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yakin bahawa isu kadar agihan hibah Tabung Haji (TH) yang diumumkan semalam tidak akan menggugat kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Katanya, beliau yakin pengundi di kawasan itu merupakan mereka yang berfikiran matang dan sedar bahawa situasi tersebut berlaku akibat penyelewengan pengurusan TH di bawah kerajaan terdahulu.

Loading...

“Saya fikir pengundi tak marah khususnya umat Islam yang merupakan pendeposit kepada TH, mereka tahu kenapa berlaku perkara ini dan saya percaya pendeposit dan umat Islam harus berterima kasih kerana kerajaan hari ini menyelamatkan TH untuk kembali kepada landasan betul,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengumumkan agihan hibah TH adalah sebanyak 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Ditanya sekiranya perkara itu dijadikan isu oleh pembangkang pada PRK ini, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, berkata perkara tersebut akan hanya menyebabkan rakyat menghukum mereka sekali lagi. 


“Saya percaya kalau mereka (pembangkang) mainkan isu seperti itu untuk kempen keluarkan deposit daripada TH, sekali lagi rakyat akan hukum mereka (kerana) melakukan pengkhianatan kedua terhadap institusi kewangan dan ekonomi umat Islam,” katanya. 

Beliau dalam pada itu, turut menyeru pengundi DUN Rantau memilih calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram sebagai wakil rakyat bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke kawasan itu.  

“Sekiranya calon Barisan Nasional (BN)  Datuk Seri Mohamad Hasan menang sekali pun, ia sama sekali tidak akan mengembalikan jawatan menteri besar yang pernah disandangnya suatu ketika dahulu.

“Pengundi pastinya tidak mahu melihat taraf Tok Mat turun dari menteri besar kepada ketua pembangkang (dalam persidangan DUN).

“Betul ramai orang sayang Mohamad tapi nak sayang pun kena fikir juga keluarga, masyarakat, negeri dan negara...takkan nak sokong parti korup,” katanya.

PRK DUN Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. — Bernama

No comments


Loading...