Header Ads

Isteri lelaki tertanam belakang rumah polis terima pampasan Perkeso


Isteri seorang lelaki yang mayatnya ditemui tertanam di belakang sebuah rumah di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah dekat Batu Pahat 27 Mac lepas, menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustafa berkata, Suhaida Ahmad, 37 akan menerima dua jenis wang pampasan iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat.


Loading...
Beliau berkata bagi bayaran FPM, waris kepada Orang Berinsurans (OB) bagi Zulkifli Musa, 37, adalah sebanyak RM2,000 manakala wang bagi Pencen Penakat yang akan dibayar setiap bulan itu jumlahnya masih dalam pengiraan pihak Perkeso.

“Untuk Pencen Penakat ini bayarannya mempunyai dua syer iaitu untuk isteri dan tiga anak bagi OB berkenaan, bayaran bagi isteri adalah seumur hidup dan untuk anak-anak adalah sehingga umurnya 21 tahun atau tamat pengajian di peringkat ijazah pertama,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan wang pampasan berkenaan di kediaman Suhaida di Kampung Tambak, Peserai yang turut dihadiri Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Azman Musa dan Wakil Biro Kebajikan, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Jati Batu Pahat (PKAAJ), Mohd Hamidi Mad Tap.

Sementara itu, Suhaida berkata setelah kematian Zulkifli, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, dia perlu menjadi ibu dan ayah kepada ketiga-tiga anaknya yang berusia antara dua hingga lima tahun.

Katanya, dia sekeluarga juga hilang sumber pendapatan kerana sebelum ini hanya suaminya sahaja yang bekerja dan dia hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa menjaga anak-anaknya.

“Selepas ini, saya bercadang untuk berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara anak-anak dan saya berterima kasih kepada Perkeso kerana membantu kami,” katanya.

Terdahulu, seorang anggota polis ditahan pada 27 Mac lepas, selepas mayat Zulkifli ditemukan ditanam di belakang rumah anggota polis terbabit di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah.

Penemuan pada 5.30 petang itu adalah susulan laporan polis mengenai kehilangan Zulkifli pada 18 Mac lepas, yang dibuat Suhaida. - Bernama

No comments


Loading...