Header Ads

Dapatan laporan CEP perlu siasatan lanjut, tidak didedah sekarang, kata PM

Foto oleh Bernama

Laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak akan didedahkan kepada umum buat masa ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memandangkan beberapa hasil dapatan mereka memerlukan penyiasatan lanjut oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

“Ini adalah bagi mengelakkan polemik yang mungkin boleh menjejaskan hasil siasatan dan keyakinan pelabur,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Malaysiakini.


Loading...

Dr Mahathir berkata, laporan itu mungkin didedahkan kepada umum pada masa depan selepas tindakan susulan diambil dan tiada tindakan saman malu dikenakan.

“Ketika ini banyak cadangan dan nasihat yang diberi CEP dilaksanakan kerajaan.

“Soal sama ada kita boleh mendedahkan laporan CEP, belum sampai masanya, mungkin masa depan apabila sudah ambil tindakan dan tidak lagi berkemungkinan dikenakan saman malu,” katanya.

“ Apa yang penting, semua cadangan penambahbaikan yang diterima dilaksanakan sebaik mungkin demi kesejahteraan dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.



Fahmi pada soalan asalnya bertanya sama ada kerajaan bersedia menerbitkan laporan CEP berdasarkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan kebebasan maklumat demi mengelak fitnah dan persepsi tidak betul.

Ini, katanya terutama apabila orang ramai mengetahui OSA pernah disalah guna pentadbiran terdahulu untuk menyembunyikan salah laku.

Perdana menteri berkata, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat besar menubuhkan kerajaan, wujud keperluan bagi proses peralihan kuasa berjalan lancar tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.

Beliau berkata, buat pertama kalinya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sejak merdeka bertukar, sekali gus berlaku perubahan landskap politik negara.

“Sudah tentu dalam rakyat meraikan perubahan, wujud kebimbangan peniaga dan pelabur asing terhadap keupayaan PH mentadbir kerajaan.

“Justeru, saya putuskan untuk menubuhkan CEP dengan matlamat utama menasihati kerajaan dalam bidang ekonomi, kewangan dan bidang lain yang perlu diberi perhatian terutama dalam tempoh 100 hari peralihan kerajaan.

“CEP melaksanakan tanggungjawab dibantu sekretariat, dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi serta dua pasukan petugas khas.

“CEP ditamatkan tugas secara rasmi pada 19 Ogos 2018,” katanya.

No comments


Loading...