Header Ads

Bank Negara serbu Ambank pada 2015, siasat lapan dokumen termasuk empat akaun bank Najib

Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk makan tengah hari, 15 April 2019. — Foto oleh Firdaus Latif/Projek MM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu sebanyak lapan dokumen, termasuk empat akaun Ambank milik bekas perdana menteri Najib Razak, telah diambil dari Ambank cawangan Jalan Raja Chulan bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengurus BNM Azizul Adzani Abdul Ghafar berkata dokumen itu diperoleh selepas satu penggeledahan dilakukan di lokasi tersebut pada 6 Julai 2015 bagi mendapatkan senarai akaun berhubung obligasi pelaburan.


Loading...
Azizul Adzani, yang dilantik sebagai pegawai penggeledah ketika itu, berkata beliau telah menemui Pengurus Cawangan Ambank terbabit iaitu R Uma Devi dan memaklumkan senarai akaun yang diperlukan BNM bagi tujuan siasatan.

“Puan Uma Devi telah mendapatkan semua dokumen yang saya nyatakan dan setelah meneliti dokumen-dokumen tersebut, saya mencatatkannya dalam senarai geledah,” kata saksi kedua pendakwaan itu sambil menambah beliau pergi ke cawangan Ambank tersebut bersama tiga lagi pegawai BNM.

Azizul Adzani berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim pada hari kedua perbicaraan kes Najib berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Saksi itu berkata dokumen lain membabitkan tiga akaun syarikat SRC Sdn Bhd dan satu akaun Syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Menjawab soalan Suhaimi berkaitan tujuan saksi itu mencatat dokumen yang diperoleh dalam senarai geledah, Azizul Adzani berkata ia adalah bagi merekodkan dokumen yang diambil BNM untuk tujuan siasatan.

Azizul Adzani turut mengenal pasti dan mengesahkan dokumen terbabit yang ditunjukkan pihak pendakwaan.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu, yang merupakan perdana menteri keenam, didakwa melakukan kesemua kesalahan di AmIslamic Bank Berhad Jalan Raja Chulan dan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos dan 10 Feb 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung. - Bernama

No comments


Loading...
loading...