Header Ads

Warkah Dr Mahathir rayu pengundi pilih calon PH Muhammad Aiman Zainali


KUALA LUMPUR ― Mandat dan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) akan digalas sebaik-baiknya dan kerajaan tidak akan mensia-siakan usaha memastikan tadbir urus negara dan kebajikan rakyat terjamin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ya, saya akui memang terdapat banyak kelemahan dalam pentadbiran kerajaan. Banyak yang perlu diperbaiki dan diperbetul,” katanya dalam warkah beliau untuk pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.


Loading...
Warkah tersebut dimuat naik dalam laman Facebooknya, hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH, merayu pengundi Semenyih untuk memilih calon PH Muhammad Aiman Zainali pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, esok.

Beliau berkata dengan memilih calon PH iaitu parti yang membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, penduduk Semenyih bakal mempunyai seorang wakil rakyat yang dapat menjalankan peranan dengan lebih berkesan.

“Ini termasuklah menyuarakan hasrat penduduk Semenyih mengenai keperluan pembangunan infrastruktur, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, kebajikan, pekerjaan, pertanian dan kemajuan ekonomi setempat untuk perhatian serta tindakan lanjut oleh kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya

Perdana Menteri berkata walaupun PRK DUN Semenyih itu tidak membawa perubahan kepada kerajaan, tetapi beliau percaya pengundi telah matang dan akan memilih wakil rakyat yang bersih, cekap, amanah dan berintegriti untuk memberikan khidmat terbaik khususnya kepada penduduk Semenyih.

Beliau berkata dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei tahun lepas, pengundi Semenyih membuat pilihan yang tepat dengan mengundi PH dan hasilnya, pemerintahan kleptokrat Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan.

“Sepanjang tempoh sembilan bulan PH membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, pelbagai usaha dilaksanakan untuk memulihkan keadaan negara serta kebajikan rakyat.

“Ini termasuk melaksanakan inisiatif-inisiatif mengurangkan kos sara hidup serta memperbetul tadbir urus negara dan menghapuskan rasuah,” katanya.

Dr Mahathir turut meminta seluruh pengundi DUN Semenyih supaya menunaikan tanggungjawab mengundi esok dan memilih calon PH.

“Sama-sama kita teruskan untuk pulihkan negara dan memelihara kebajikan rakyat,” beliau akhiri warkah tersebut.

PRK DUN Semenyih esok menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. ― Bernama

No comments


Loading...