Header Ads

Tetap kekal bersama UMNO - Ku Li


GUA MUSANG - Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengulangi pendiriannya tidak akan melompat parti dan kekal setia bersama perjuangan UMNO walaupun sebagai pembangkang.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, berkata, pendiriannya adalah sebagai menghormati keputusan rakyat yang memberi kemenangan kepadanya pada PRU14 lalu.

Loading...

“... (saya) tidak akan menggadai maruah untuk kepentingan diri,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan warga peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah KESEDAR Lebir, di sini.

Turut hadir ADUN Galas , Mohd Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri Ab Aziz Yusof dan ADUN Paloh Amran Ariffin.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Tengku Razaleigh menyifatkan kerjasama UMNO-Pas sebagai baik dari segi menyatukan bangsa Melayu beragama Islam.


Katanya, walaupun ada yang tidak bersetuju, beliau yakin mereka yang berkenaan boleh diyakinkan bahawa kerjasama tersebut baik untuk kedua-dua parti.

"Malah, hasil kerjasama yang ditunjukan kedua-dua parti itu telah membuktikan kemenangan di dua pilihan raya kecil iaitu Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini," katanya.

Pada masa sama beliau berharap kerjasama itu disandarkan pada keikhlasan serta tiada “keris dipegang tangan kiri”. - Bernama

No comments


Loading...