Header Ads

Suspek pencemaran sisa kimia ada rekod jenayah -KPN


KUALA LUMPUR - Beberapa suspek yang ditahan berhubung pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor didapati mempunyai rekod jenayah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata, kesemua sembilan lelaki warga tempatan terbabit yang direman sehingga Sabtu ini, merupakan pekerja di beberapa buah syarikat.

Loading...

“Siasatan kini sedang rancak dijalankan dan kita yakin akan dapat kenal pasti mereka yang bertanggungjawab,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM), Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia dan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia di Bukit Aman, hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dibuat bagi membantu siasatan kes itu.

“Proses siasatan dilakukan oleh polis Johor dan diselaraskan (oleh pegawai) di Bukit Aman dan fokus sekarang ialah jenayah terhadap alam sekitar,” katanya.


Kelmarin, Mohamad Fuzi dilaporkan berkata, sembilan lelaki ditahan pada Ahad dengan dua daripada mereka ditahan di Johor, sementara tujuh lagi di luar negeri itu.

Insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim dikesan pada 7 Mac selepas ramai pelajar, guru dan petugas sekolah mengalami sesak nafas, muntah, loya dan sakit tekak. - Bernama

No comments


Loading...