Header Ads

Sebak sejurus terima kunjungan Tun Mahathir


WARGA emas yang terlantar sakit, Othman Bakar, 67, di Kampung Sungai Kelibang di Langkawi, sebak sejurus menerima kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di rumahnya, hari ini.

Isterinya, Hindun Abdul Rahman, 66, berkata, suaminya lumpuh seluruh badan sejak empat tahun lalu dan tidak mampu bercakap, malah untuk makan serta minum perlu disuap orang lain.

Loading...

“Sejurus nampak Perdana Menteri masuk ke rumah, riak wajahnya nampak sebak mungkin terharu atas kesudian beliau mengunjungi dan bertanya khabar.

“Saya sendiri pun terharu apabila Tun (Dr Mahathir) masuk sampai ke dapur untuk lihat keadaan sebenar rumah kami yang daif ini,” katanya yang bekerja sebagai pencuci dengan sebuah syarikat pembersihan sekolah.

Hindun berkata, Perdana Menteri juga menyatakan persetujuan untuk membaiki dapur dan bilik air rumahnya bagi memudahkan dia memandikan suaminya yang lumpuh.


“Selama ini saya hanya memandikan suami dua kali sehari, itu pun memerlukan bantuan anak atau jiran kerana tidak mampu untuk angkat berseorangan.

“Rumah yang kami diami ini juga kerap bocor pada musim hujan, malah lantainya juga reput dan menunggu masa untuk runtuh,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi tiba pada 6.35 petang, meluangkan masa 10 minit meninjau keadaan rumah kayu beratap zink yang didiami dua warga emas itu.
Selain beramah mesra, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM1,000 untuk perbelanjaan Othman dan isterinya, Hindun. - Harian Metro

No comments


Loading...