Header Ads

Proton bakal bina kilang pemasangan di Pakistan


Pengeluar kereta nasional, Proton, akan bekerjasama dengan syarikat tempatan Pakistan bagi mewujudkan kilang pemasangan pengeluaran di negara itu, sekali gus menjadi kilang pertamanya di rantau Asia Selatan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Ikram Mohammad Ibrahim berkata perjanjian di antara Proton dan rakan perniagaan dari Pakistan Alhaj Automotive, dibuat tahun lepas, dengan Proton mengunjurkan potensi yang besar untuk syarikat itu.

Loading...

“Dari segi potensi pasaran kenderaan di Pakistan, Proton rasakan potensinya amat besar. Itulah sebabnya Proton setuju bekerjasama dengan Alhaj Automotive untuk membina kilang pemasangan berhampiran Karachi di wilayah Sindh.

“Ia signifikan kerana ini akan menjadi kilang pertama Proton di Asia Selatan berdasarkan jumlah penduduk di negara ini sahaja sudah 210 juta,” katanya kepada media Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan di Islamabad.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya dari Pakistan Imran Khan, dijangka menyaksikan acara simbolik majlis pecah tanah kilang Proton itu pada Jumaat.


Dr Mahathir akan mengadakan lawatan rasmi ke Pakistan selama tiga hari bermula Khamis.

Ikram berkata pembinaan kilang itu merupakan elemen penting dalam perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara memandangkan Proton merupakan ilham Dr Mahathir sewaktu menjadi perdana menteri buat pertama kali dahulu.

Katanya sewaktu lawatan Dr Mahathir, kedua-dua perdana menteri itu juga akan berbincang lebih terperinci mengenai usaha mempertingkat hubungan dagang kedua-dua negara.

Pada 2018, jumlah dagangan dua hala Malaysia dan Pakistan bernilai RM5.91 billion atau meningkat 2.5 peratus berbanding RM5.76 billion pada 2017.

Pakistan merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.


Ikram berkata Pakistan merupakan negara destinasi terbesar eksport Malaysia di Asia Selatan dan ketiga terbesar bagi destinasi import Malaysia.

“Bagi Pakistan, Malaysia merupakan rakan dagang ke-16 terbesar pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata dari segi pelaburan, perangkaan State Bank Paskistan bagi tahun kewangan 2017/2018 merekodkan Malaysia sebagai negara asing ketiga terbesar di Pakistan selepas China dan United Kingdom. - Bernama

No comments


Loading...