Header Ads

PPR Taman Manggis cuma rumah transit


Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Manggis adalah sebagai rumah transit dan bukan untuk didiami selama-lamanya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata kategori PPR itu sepatutnya untuk transit sahaja, sementara mereka menunggu kemudahan perumahan yang sepatutnya siap.


Loading...
"PPR Taman Manggis adalah untuk diduduki buat sementara sahaja, itu pun mereka sudah duduk lebih 11 tahun. Memang ada kelemahan dari segi pengurusan dan pejabat perumahan negeri kini sedang dalam proses mengemas kini maklumat untuk semua projek bagi kes-kes sedemikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Expo Perumahan Mampu Milik di Seberang Perai hari ini.

Beliau berkata walaupun unit PPR ditawarkan sebagai pampasan, kelayakan menduduki PPR itu sudah wujud sejak dari dahulu sehingga sekarang.

Chow berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan seorang penyewa PPR Taman Manggis yang menyatakan unit itu diperoleh sebagai pampasan selepas rumahnya di Sungai Pinang diroboh bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Beliau berharap penyewa PPR Taman Manggis yang diarahkan mengosongkan unit masing-masing dapat menerima hakikat mereka telah hilang kelayakan menduduki kediaman itu, namun masih layak memohon projek perumahan lain ditawarkan kerajaan negeri.

"Kita terbuka kepada rundingan dengan penduduk dan beberapa Exco kerajaan negeri memberi tawaran kepada mereka termasuk yang berkampung di lobi Komtar, tetapi mereka menolak tawaran tersebut," katanya.

Beliau berkata penduduk harus bersedia bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri agar masalah mereka dapat diselesaikan demi kebaikan semua.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata penyewa PPR Taman Manggis yang hilang kelayakan akan diberi keutamaan memohon kemudahan projek perumahan negeri yang lain.

"Mereka boleh memohon projek kos rendah, kos sederhana rendah atau mampu milik yang lain, dan kita akan berikan keutamaan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata keutamaan itu hanya kepada mereka yang bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan tidak memiliki rumah lain.

Mengenai dakwaan tindakan pengosongan unit PPR Taman Manggis dilakukan tanpa mengikut undang-undang, Jagdeep berkata pihak kerajaan negeri bersedia menunggu tindakan seterusnya daripada wakil peguam penduduk.

Rabu lepas, 22 penyewa unit PPR Taman Manggis diarahkan mengosongkan unit kediaman masing-masing selepas mereka hilang kelayakan menduduki rumah tersebut.

Namun, semalam, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili tujuh keluarga penyewa yang diusir, mendakwa tindakan itu antara lain bertentangan dengan Seksyen 7 (2) Akta Relif Spesifik 1950, kerana tidak berlandaskan kepada undang-undang. - Bernama

No comments


Loading...