Header Ads

PM: Malaysia akan buat ketetapan sendiri berkaitan China


Kerajaan Malaysia akan membuat ketetapannya sendiri yang bebas berkaitan China meskipun Barat curiga dengan penglibatan Beijing dalam isu pengintipan siber, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Loading...
Dalam satu wawancara dengan portal berita South China Morning Post yang disiarkan pada Jumaat, beliau berkata kebimbangan itu tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama, malah matlamat akhir ialah untuk bekerjasama dengan China, rakan kongsi perdagangan terbesar Malaysia.
“Apa pun sikap kita terhadap China, kita perlu mengakui bahawa China adalah satu kuasa besar. Ia adalah kuasa serantau dan kita perlu berurusan dengan mereka.
"Kita perlu memahami dasar serta strategi mereka dan kita perlu membuat penyesuaian supaya kita mendapat manfaat daripada dasar China,” kata Dr Mahathir dalam temu bual dari Manila di mana beliau kini dalam rangka lawatan selama tiga hari.

Dr Mahathir juga berkata rantau Asean perlu mempunyai satu "ketetapan bersama" berkaitan China dan berurusan secara kolektif dengan negara kuasa besar itu.
Perdana menteri berkata Malaysia belum menemui bukti yang menunjukkan syarikat telekomunikasi China iaitu Huawei akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara Malaysia, namun ia (Malaysia) sedang "memantau perkara itu dengan teliti".
Amerika Syarikat (AS) telah melarang penggunaan produk Huawei atas alasan bimbangkan keselamatan negara.
Menurut laporan, AS turut melobi negara sekutunya untuk melakukan perkara yang sama.
Pada Khamis, Huawei, antara penyedia peralatan telekomunikasi terbesar dunia serta pemimpin global dalam teknologi 5G, telah menyaman kerajaan AS berhubung larangan itu dan mendakwa AS gagal mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.
Syarikat itu turut menolak dakwaan bahawa ia mempunyai kaitan dengan kerajaan China.

Ketika diminta mengulas dakwaan perangkap hutang yang dilemparkan terhadap China, Dr Mahathir berkata China, yang secara lahiriahnya ahli perniagaan yang bijak, sudah tentu akan “melihat peluang-peluang dan dengan modal yang mereka ada, berhasrat menembusi bidang di mana mereka tidak mempunyai representasi atau sedikit representasi”.
Bagaimanapun beliau berkata setiap negara berdaulat boleh membuat keputusan sama ada mereka ingin mengambil pinjaman asing atau sebaliknya.
“Anda yang buat keputusan itu, anda tahu modal yang mengalir masuk ke dalam negara akan memberi kesan kepada negara.
"Jadi terpulang kepada negara terbabit untuk memastikan bahawa wang yang mengalir masuk bukan wang yang dipinjam, bukan wang untuk infrastruktur, tetapi mungkin dihadkan kepada wang untuk pelaburan dalam proses-proses produktif," katanya, menurut laporan South China Morning Post.
-Bernama

Loading...