Header Ads

PH kalau nak lama memerintah belajar daripada PM - Kadir Jasin


Oleh A Kadir Jasin

Jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersungguh-sungguh tidak mahu menjadi kerajaan satu penggal maka anggota kabinet, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri wajiblah segera melaksanakan nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Saya rasa adalah tidak adil dan sia-sia beliau mempertahankan mereka apabila dikritik atau ditanya oleh media massa kalau mereka sendiri tidak berusaha memperbaiki diri.

Loading...


Seelok-eloknya mereka secara kolektif dan berkesan mempertahankan kerajaan bukan memaksa perdana menteri mempertahankan mereka.

Janganlah terlalu seronok, gembira, selesa dan mendabik dada apabila beliau memberi pelbagai alasan mempertahan dan melindungi mereka.

Menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ketua menteri boleh membuktikan bahawa mereka bukan badut dan watak jenaka dengan laksanakan nasihat beliau.

Yang terbaru Dr Mahathir menasihatkan mereka belajar mengurus secara mikro (micro-manage) dengan turun sendiri ke padang untuk melawat dan memantau projek.

Hanya dengan melakukan lawatan mengejut tanpa diiringi oleh kakitangan yang ramai dan dikepung oleh pengawal keselamatan barulah mereka dapat melihat keadaan sebenar.



Inilah cara Dr Mahathir. Oleh sebab itulah kita sering melihat beliau memandu sendiri, khususnya pada hujung minggu, untuk melihat dan meninjau pelbagai tempat dan perkara yang menarik minat beliau atau yang memerlukan perhatian beliau.

Cerita beliau tiba-tiba muncul di tapak projek menyebabkan kakitangan awam, eksekutif sektor swasta dan kontraktor sentiasa berjaga-jaga dan tidak curi tulang.

Inilah yang berlaku ketika pembinaan Menara Kembar Petronas, Putrajaya, KLIA dan banyak lagi projek utama.

Antara sungutan dan rungutan yang sering kita dengar mengenai menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ketua menteri PH ialah mereka tidak cukup kerap turun padang melawat projek dan bertemu rakyat jelata.

Malah saya lihat dengan mata kepala saya sendiri betapa kekoknya sesetengah daripada mereka apabila bersama rakyat jelata. Ada yang seolah-olah mahu dipagari oleh pegawai dan pengawal supaya boleh mengelak daripada mendengar keluh kesah rakyat jelata.

Saya kata, kalau setakat hendak disambut, dikerumuni dan diraikan oleh pegawai dan pengawal supaya nampak cantik dalam berita televisyen, surat khabar dan media sosial, tak payahlah susah-susah habiskan duit kerajaan turun padang.



Kalau turun padang, duduklah dan bermesralah dengan rakyat jelata – dengan tok penghulu dan tok penggawa, ketua kampung, tok iman, wakil peneroka, wakil nelayan dan wakil badan-badan bukan kerajaan.

Dalam era media sosial ini, gambar sangat penting. Kalau dulu gambar menceritakan seribu perkataan, dalam zaman media sosial ini sekeping gambar boleh menceritakan sejuta perkataan.

Mohon berhentikan segera amalan menampal gambar menteri dengan pegawai peribadi dan pegawai khas dengan pelbagai lakonan “free style” yang kebudak-badakan.

Orang ramai menyampah. Malah penyokong parti sendiri marah bila menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ketua menteri nampak lebih mengutamakan kakitangan peribadi daripada ahli parti, orang ramai dan kakitangan awam.

Khusus buat setiausaha akhbar kepada menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ketua menteri, terutama sekali yang tidak terlatih dalam bidang komunikasi dan kewartawanan, cubalah lebih mesra dengan media dan kalau tidak tahu belajarlah daripada yang tahu. Jangan jadi bodoh sombong.

Ingatlah kamu memainkan peranan penting menentukan sama ada bos kamu mendapat “good press” atau “bad press”, khususnya menjelang ulang tahun pertama pemerintahan PH pada 9 Mei nanti.

Kemudian nasihat perdana menteri supaya menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan semua orang politik serta kakitangan mereka agar belajar bekerjasama dengan anggota perkhidmatan awam.

Tawan hati mereka dan dapatkan keyakinan mereka. Ia akan memakan sedikit masa kerana sebelum ini mereka hanya kenal dan biasa dengan satu kerajaan sahaja iaitu BN.

Perdana Menteri tidak mahu menteri, timbalan menteri, menteri besar dan ketua menteri menubuhkan apa yang beliau sifatkan sebagai “government within the government” atau kerajaan dalam kerajaan iaitu dengan membawa masuk kawan-kawan sendiri dan ketepikan kakitangan.



Saya pula kata, kakitangan awam pun cubalah sesuaikan diri dan kerja dengan kerajaan baru demi kebaikan rakyat jelata. Kesetiaan kakitangan awam adalah kepada kerajaan yang memerintah - the government of the day.

Tetapi kalau ditakdirkan ada kakitangan awam yang ingkar, bersekongkol dengan anggota kerajaan lama atau membentuk pakatan mereka sendiri (cabal, cartel) dengan tujuan mensabotaj kerajaan atau membuat keuntungan peribadi maka tindakan paling tegas wajib dikenakan.

Kadang-kadang benda yang kecil dan remeh menyebabkan orang ramai marah kepada kerajaan. Misalnya menteri ke hulu hilir diiringi outrider polis atau polis tentera dengan bunyi siren dan lampu amaran sedangkan orang ramai tersekat dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Yang tak ada pengiring polis tu tak payahlah nyalakan lampu strobe light biru kamu. Menyakitkan hati orang ramai saja! Lebih baik bersusah payah sikit daripada dimaki hamun oleh rakyat jelata.

Seelok-eloknya kerajaan PH ini hendaklah lebih egalitarian (sama rata) dan elak meniru sifat berkasta kerajaan dahulu. Tak payahlah bos sana bos sini. Bukankah panggilan YB lebih sedap?

Kurangkan protokol dan lebihkan bermesra dengan rakyat jelata seperti yang diamalkan oleh perdana menteri sendiri.

DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini asalnya dimuat naik di blog beliau." Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi kami di Malaysian Update.

No comments


Loading...