Header Ads

Peruntukan RM150,000 baik pulih masjid, bukti DAP bukan anti-islam

   Foto oleh Firdaus Latif

IPOH, 29 Mac — Anggota Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming hari ini mengumumkan pemberian peruntukan RM150,000 kepada Masjid An-Naim di Taman Seri Setia dekat Teluk Intan di sini bagi tujuan membaik pulih serta menaik taraf masjid tersebut.

Nga yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang meluluskan peruntukan khas tersebut dengan serta-merta.

Loading...

“Hal ini membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) cukup prihatin tentang kebajikan rakyat dan  komited untuk menjaga kebajikan serta membela nasib semua kaum,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM1.6 juta bagi projek Masjid Al-Taqwa di Kampung Padang Tembak dekat Teluk Intan dan kini untuk Masjid An-Naim yang sering dikunjungi pesara kakitangan kerajaan.


Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata walaupun DAP sentiasa menghadapi fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai ‘anti-Islam’ mahupun ‘anti-Melayu’, tetapi kini terbukti segalanya itu adalah fitnah yang wajib ditolak oleh seluruh umat Islam. ”DAP adalah parti yang mesra Islam dan komited untuk memperjuangkan perpaduan nasional pelbagai kaum termasuk membela hak dan kebajikan masyarakat Islam,” katanya.

Kata Nga, beliau akan terus memperjuangkan hak dan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama kerana kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang prihatin tentang hak semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum. — Bernama

No comments


Loading...